Jumaat, 13 Disember 2019 | 7:06pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Pameran seni 'Haji: Perjalanan Merentasi Zaman' beri inspirasi

KUALA LUMPUR: Pameran seni ‘Haji: Perjalanan Merentasi Zaman’ di Muzium Kesenian Islam Malaysia, di sini, disifatkan sebagai memberi inspirasi kepada pengunjung.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pameran mengetengahkan perjalanan jemaah haji ke Makkah pada satu ketika dahulu itu sangat dekat dengan hati rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam.

“Pameran ini pasti sangat dekat dengan kita semua kerana ia mempersembahkan kepelbagaian pengembaraan menunaikan haji, dengan mengetengahkan apa yang dilalui jemaah haji satu ketika dahulu.

“Pengunjung yang menyaksikan pameran ini pasti akan berhasrat untuk menunaikan haji.

“Daripada laluan kafilah, pengorbanan di Mina, menunaikan ibadah di Haram al-Makki sehinggalah menghayati batu hitam, setiap lukisan dipamer membuatkan kita menikmati ketenangan yang dipersembahkan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Pameran ‘Haji: Perjalanan Merentasi Zaman’, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Pameran hasil kerjasama Muzium Kesenian Islam Malaysia dengan Badan Amanah Barakat itu dijadualkan berlangsung selama tiga bulan hingga 13 Mac tahun depan.

Ia mempamerkan 44 lukisan minyak dihasilkan artis dari Arab Saudi, Reem Nazir, serta beberapa gambar lama yang menceritakan perjalanan jemaah haji menuju ke Tanah Suci satu ketika dahulu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia, Dr Heba Nayel Barakat, memaklumkan lukisan yang dipamer itu dihasilkan di atas kanvas secara unik.

Beliau berkata, setiap lokasi terbabit dalam lukisan itu adalah dilawati sendiri oleh pelukis, selain menggabungkannya dengan keadaan zaman lalu yang dilihat menerusi koleksi gambar lama.

“Kami menyasarkan sekurang-kurang 40,000 pengunjung hadir untuk menikmati pameran ini selama tiga bulan ia berlangsung,” katanya.

Berita Harian X