Sabtu, 7 Disember 2019 | 4:49pm
Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah. - NSTP/Aswadi Alias
Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah. - NSTP/Aswadi Alias

Penangguhan pemberhentian 24 kakitangan ITBM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menangguhkan pemberhentian 24 kakitangan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) seperti dilaporkan Rabu lalu bagi memberi laluan kepada kerajaan meneliti semula kaedah membantu agensi itu.

Pengurus besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah, ketika mengesahkan hal itu berkata, penangguhan berkenaan dimaklumkan kepada ITBM susulan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, hari ini.

Sakri berkata, ITBM dipanggil berjumpa Menteri Pendidikan selepas persetujuan dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung lebih awal, hari ini, berhubung penangguhan berkenaan.

“Surat mengenainya belum dikeluarkan tetapi kesemua 24 kakitangan yang terbabit sudah dimaklumkan mengenai penangguhan pemberhentian berkenaan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

“Satu pertemuan akan diadakan dengan kakitangan terbabit Isnin ini dan mereka akan kembali berkerja hinggalah satu masa yang akan dimaklumkan kelak,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Sakri berkata, keputusan penangguhan sementara itu diambil bagi membolehkan kerajaan memikirkan mekanisme jangka panjang dan jangka pendek bagi membantu ITBM terutama selepas mengambil kira sumbangan agensi itu terhadap penulisan tanah air sejak sedekad lalu.

“Bagi pihak ITBM dan kakitangan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan yang nampaknya terus prihatin bagi memastikan kelangsungan ITBM pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, menyambut baik penangguhan sementara fasa pertama kakitangan ITBM yang dibuat, meskipun menyifatkan tindakan itu sudah agak terlewat.

Mohamad Saleeh berkata, pelan pemulihan yang ingin dilakukan terhadap ITBM perlu memastikan penerbitan karya asli dalam bahasa Melayu juga dihidupkan semula dan tidak hanya menumpukan kepada kerja terjemahan.

Katanya, bentuk perniagaan ITBM berorientasikan tanggungjawab sosial tidak sama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain.

Justeru, katanya, tidak wajar agensi itu dilepaskan begitu sahaja seperti `membiarkan itik berenang di tengah sungai yang deras’.

“ITBM perlu diberi suntikan yang diperlukan, sama ada sumber kewangan mahupun cadangan pengurusan.

“Pelan pengurusan baru mungkin diperlukan bagi memastikan ITBM agresif bukan saja dalam kerja penerbitan, promosi dan sinergi dengan pihak dalam dan luar malah penyuburan iklim sastera dan pemasaran.

“Selain hak terjemahan rasmi dokumen kerajaan, satu sistem bantuan wajar diperkenalkan dan ini termasuk pemberian kontrak pembekalan buku teks sekolah bagi memastikan ITBM dapat menjalankan urusan perniagaan bagi meneruskan hidup,” katanya.

ITBM atau nama asalnya Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) ditubuhkan pada 14 September 1993 bertujuan menyediakan prasarana penterjemahan di negara ini.

Ia kemudian diubah nama menjadi ITBM apabila menerima dana kerajaan sebanyak RM5 juta pada 2011 yang membolehkannya menerbitkan karya asli.

Isu penutupan ITBM sudah dapat dihidu BH sejak awal tahun lalu berikutan masalah hutang dialami agensi bagaimanapun dinafikan Maszlee, Mei lalu.

Rabu lalu, seramai 24 orang atau 20 peratus daripada 115 kakitangan ITBM menerima surat pemberhentian kerja sebagai usaha pengecilan operasi syarikat berkenaan.

Berita Harian X