Sabtu, 7 Disember 2019 | 2:46pm
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan titah selepas berkenan menerima Kedoktoran Kehormat dalam Kewangan Islam sempena Majlis Konvokesyen Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Hotel InterContinental Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan titah selepas berkenan menerima Kedoktoran Kehormat dalam Kewangan Islam sempena Majlis Konvokesyen Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Hotel InterContinental Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Kewangan Islam perlu lebih lestari - Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR: Keutuhan kewangan Islam harus terus dinaik taraf supaya menjadi sistem yang lestari, selain menekankan kepentingan sosial dan alam sekitar.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah, bertitah pelbagai aspek dalam kewangan Islam yang berteraskan prinsip maqasid syariah berupaya diterokai, demi meraih manfaat untuk masyarakat di seluruh dunia.

Selari peredaran semasa, usaha demi menjana pertumbuhan ekonomi, masyarakat dan alam sekitar itu kini memasuki fasa baharu berteraskan konsep ‘3P’, iaitu merangkumi cakerawala, rakyat serta kemakmuran.

“Sebagai bakal graduan dalam kewangan Islam, beta ingin tekankan bahawa masih banyak perkara yang perlu dilakukan merangkumi tiga aspek ini.

“Malah, beta percaya lebih banyak usaha perlu digagaskan berbanding sebelum ini kerana rata-rata laporan media menyaksikan sistem cakerawala kita berdepan krisis iklim yang semakin meruncing.

“Berhubung ‘P’ kedua pula, Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) melaporkan bilangan individu yang terpaksa berpindah berikutan pelbagai faktor kini semakin bertambah jika dibandingkan dengan zaman perang dunia kedua.

“Antara faktor penyumbang yang dikenal pasti ialah konflik, pendakwaan dan penderitaan, malah dijangkakan 80 peratus daripada penduduk dunia, majoritinya negara Muslim akan berada dalam keadaan berisiko menjelang 2030,” titah baginda, hari ini.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika berkenan berangkat menerima anugerah Doktor Kehormat, sempena majlis Konvokesyen Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) Ke-11, di sini.

Anugerah berkenaan adalah bagi mengiktiraf sumbangan Sultan Nazrin terhadap perkembangan industri kewangan Islam di dalam dan luar negara, selain mewakili suara masyarakat Islam yang moden serta progresif.

Terdahulu, penyerahan ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah merangkumi 137 graduan dari lebih 70 negara pada konvokesyen itu disempurnakan Canselor INCEIF, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Yang turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF, Prof Datuk Dr Mohd Azmi Omar.

Memperincikan ‘P’ terakhir, Sultan Nazrin bertitah dasar kewangan Islam yang lebih lestari harus dipacu kerana cabaran semasa menunjukkan kadar keberhutangan terus meningkat, manakala jurang perbezaan antara masyarakat semakin melebar.

Selain itu, kekurangan peruntukan dana bagi merungkai penderitaan masyarakat di seluruh dunia susulan kadar kemiskinan semakin menyusut, malah tidak mencukupi untuk menampung permintaan semasa.

“Oleh itu, kita perlukan gagasan kewangan Islam yang dinamik dan memperuntukkan penyelesaian yang lebih berinovatif,” titah baginda.

Berita Harian X