Jumaat, 6 Disember 2019 | 12:54pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia catat jualan lebih RM3.1 juta

PUTRAJAYA: Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia (KBBM) diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mencapai kejayaan luar biasa apabila kerjasamanya dengan platform e-dagang, Shopee berjaya memperolehi jualan sejumlah RM3,106,918 sejak dilancarkan dua bulan lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dalam tempoh 66 hari iaitu setakat 30 November lalu, Shopee sudah mempamerkan 3,500 produk buatan Malaysia daripada pelbagai kategori melalui halaman koleksi Barangan Buatan Malaysia.

“Purata pesanan harian bagi barang buatan tempatan yang dijual melalui halaman koleksi ini meningkat 280 peratus kepada RM47,074.52 sehari berbanding RM12,381 sehari sebelum kami melancarkan KBBM pada platform e-dagang itu.

“Pada 11 November lalu ketika berlangsungnya Shopee 11.11 Big Sale saja, urus niaga yang membabitkan produk buatan Malaysia mencatat jualan berjumlah kira-kira RM500,000 dalam sehari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keberhasilan ini dicapai kerana KPDNHEP sangat jelas mengenai strateginya untuk memanfaatkan kerancakan urus niaga e-dagang menjelang tempoh akhir tahun.

“Apabila KBBM dilancarkan semula tahun ini, matlamat utama KPDNHEP adalah memastikan produk tempatan sentiasa menjadi pilihan utama di kalangan pengguna.

“Kami percaya bahawa dengan cara itu, mereka akan mengutamakan produk Malaysia dan menjadikannya tabiat gaya hidup orang Malaysia.

“Kami juga percaya sebilangan rakyat Malaysia yang masih tidak menyokong barangan yang dihasilkan di negara ini tidak menyedari bahawa negara kita juga menghasilkan pelbagai barangan berkualiti, yang tahan lama, mampu dimiliki dan bertaraf eksport,” katanya.

Katanya, antara beberapa jenama Malaysia yang kini diiktiraf di peringkat antarabangsa adalah termasuk Old Town White Coffee, Munchy’s, Getha dan Khind.

“Inisiatif Shopee meletakkan produk buatan Malaysia sebaris dan setaraf dengan nama antarabangsa membantu kami memperkenal dan mempromosikan produk buatan Malaysia sekali gus membuktikan bahawa strategi untuk bekerjasama di platform e dagang ini terbukti tepat.

“Keputusan yang memberangsangkan ini turut memberi inspirasi kepada KPDNHEP untuk menggandakan usaha untuk mengakhiri 2019 dengan lebih cemerlang.

“Oleh itu, KPDNHEP menggesa agar seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyokong kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia ini dan layari halaman koleksi Buatan Malaysia di www.shopee.com/buatanmalaysia pada 12.12 Birthday Sale ini untuk mendapatkan diskaun dan baucar istimewa bagi produk buatan Malaysia kegemaran anda.

“Bagi penjual dan peniaga tempatan yang ingin memaparkan produk di halaman koleksi Shopee Buatan Malaysia, anda boleh mengisi borang yang boleh dimuat turun dari url ini: http://bit.ly/ShopeeKBBM dan kakitangan Shopee akan menghubungi untuk membantu anda,” katanya.

Berita Harian X