Jumaat, 6 Disember 2019 | 10:11am
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad. - Foto BERNAMA
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad. - Foto BERNAMA

Senyuman, tip kekal produktif buat anggota polis

KANGAR: Senyumlah dan mulakan tugas dengan senyuman, antara tip yang dikongsi Ketua Polis wanita pertama Perlis, Datuk Surina Saad, kepada anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, sebagai motivasi produktif diri di tempat kerja.

Surina yang tidak lekang mengukir senyuman berkata, senyuman mampu membangkit aura positif sepanjang hari di tempat kerja yang membolehkan pekerja sentiasa bersemangat dan ceria melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Bagi saya dengan senyuman, kita dapat membina aura positif sepanjang hari, jika masuk kerja dengan muka masam maka sepanjang hari seseorang itu akan bekerja dalam keadaan tertekan dan malas,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Surina yang kini berusia 56 tahun dan telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 31 tahun berkata, selain senyuman, beliau juga mengamalkan dua perkara lain iaitu sentiasa bersyukur kepada Allah SWT kerana masih diberikan peluang untuk terus hidup dan berterima kasih kepada ibu bapa yang melahir dan membesarkan.

Anak jati Seriab, di sini itu turut berkongsi misinya setelah ditugaskan pulang ke negeri kelahirannya untuk berkhidmat.

Surina berkata, tiga misinya adalah meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai polis dan kakitangan awam agar mereka dapat bekerja dengan baik dan disanjungi masyarakat serta menjaga nama baik Polis Kontinjen Perlis dan PDRM.

“Selain itu, mengubah pandangan negatif masyarakat terhadap polis dengan menggunakan pendekatan mesra masyarakat agar orang ramai tidak takut melihat kehadiran polis, sebaliknya sedia berkongsi masalah dan maklumat,” katanya menambah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab serta terbaik untuk negara, bangsa, dan agama menjadi kepuasan untuknya sepanjang berkhidmat dalam PDRM.

“Saya hanya akan rasa bangga memakai uniform polis apabila berjaya melakukan tugas dengan baik kerana masyarakat meletakkan harapan besar kepada polis dalam mengekalkan keamanan negara,” katanya.

Mengimbas penyertaannya dalam pasukan Sang Saka Biru, Surina berkata, minatnya pada pasukan keselamatan timbul selepas menonton filem Policewomen yang terkenal pada era-70-an.

“Saya rasa kagum bila melihat tugas penyamaran polis wanita dalam filem tersebut dan seterusnya menyertai PDRM pada 17 Disember 1989 walaupun pada peringkat awal mendapat tentangan daripada keluarga.

“Namun apabila berjaya menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) dan memulakan tugas pertama sebagai Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Sentul (1992-1995), keluarga mula menerima dan faham dengan tugas saya sebagai seorang pegawai polis,” katanya.

Surina mula menjawat jawatan Ketua Polis Perlis pada 3 September 2019 menggantikan Datuk Noor Mushar Mohamad yang bersara wajib tiga bulan lepas. – BERNAMA

Berita Harian X