Sabtu, 30 November 2019 | 3:02pm

Ibu redah banjir selamatkan anak OKU

TANAH MERAH: “Air naik dengan cepat, saya terpaksa redah air pada paras pinggang sambil mendukung anak OKU sebelum menaiki kereta ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelewek.”

Demikian kata Azizah Muhammad, 45, dari Kampung Taman Seri Agung ketika menceritakan proses pemindahan akibat banjir petang semalam.

Azizah katanya, ketika itu rumahnya sudah dinaiki air pada paras lutut, manakala halaman sudah mencecah paras pinggang.

Katanya, disebabkan bimbang air terus naik, dia sanggup meredah sambil mendukung anak, Nor Alif Hakimi Norarizan berusia 11 tahun yang menghidap Palsi Serebrum.

“Memandangkan hujan lebat sejak tiga hari, saya sudah mula mengemas kelengkapan rumah dan memindahkan barang penting ke rak yang dibina khas untuk musim banjir.

“Kira-kira jam 4 pagi semalam, air mula masuk ke dalam rumah sebelum kami empat beranak membuat keputusan untuk berpindah ke PPS.

“Saya tidak mahu mengambil risiko, lebih-lebih lagi Nor Alif Hakimi tidak boleh berjalan. Lebih baik kami selamatkan diri sebelum berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di PPS SK Sri Kelewek, di sini, hari ini.

Azizah antara 39 mangsa banjir membabitkan sembilan keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan selepas kediaman mereka dilanda banjir sejak semalam.

Penduduk, Roslina Muhammad Arifin, 50, yang tinggal di kampung sama memaklumkan hampir setiap tahun dia sekeluarga berpindah ke PPS ketika musim banjir.

“Taman Seri Agung antara kawasan rendah selain berdekatan dengan sungai menyebabkan kami antara penduduk terawal yang berpindah.

“Ketika berpindah semalam, air sudah mencecah paras pinggang dan saya yang mempunyai anak perempuan OKU jenis sindrom down berusia sembilan tahun bergegas pindah ke PPS.

“Sehingga pagi tadi, rumah kami masih dinaiki air dan berharap paras air kembali surut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Mat Yusof, berkata pihaknya memindahkan mangsa banjir bermula malam kelmarin selepas beberapa kampung dinaiki air.

Katanya, polis sentiasa bersedia membantu mangsa walaupun pada waktu tengah malam demi keselamatan penduduk.

“Saya nasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan mudah dinaiki air supaya membuat persiapan awal seperti menyimpan dokumen penting di tempat selamat,” katanya.

Azizah (kanan) menceritakan bagaimana beliau mendukung Nor Alif Hakimi ketika berpindah akibat banjir di Kampung Taman Seri Agung, ketika ditemui di PPS SK Sri Kelewek. Manakala Roslina (dua dari kiri) bersama anaknya yang mengidap Sindrom Down turut berpindah di PPS SK Sri Kelewek. - NSTP/Fathil Asri
Azizah (kanan) menceritakan bagaimana beliau mendukung Nor Alif Hakimi ketika berpindah akibat banjir di Kampung Taman Seri Agung, ketika ditemui di PPS SK Sri Kelewek. Manakala Roslina (dua dari kiri) bersama anaknya yang mengidap Sindrom Down turut berpindah di PPS SK Sri Kelewek. - NSTP/Fathil Asri
Berita Harian X