Sabtu, 30 November 2019 | 10:26am

1MDB: Dana THM lebih RM205.4 juta sudah digunakan sepenuhnya

PUTRAJAYA: Dana Tabung Harapan Malaysia (THM) mencecah sebanyak RM205,491,219 sudah digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pihaknya sebelum ini ada memaklumkan bahawa baki akhir THM sehingga 14 Januari lalu, iaitu tarikh akhir penerimaan sumbangan, adalah RM202,716,775.

Beliau berkata, susulan kutipan terbabit, kerajaan menerima faedah pelaburan sebanyak RM2,774,444 dan ini menjadikan jumlah besar dalam akaun amanah terbabit adalah sebanyak RM205,491,219.

“Pada 28 November 2019, kerajaan menggunakan keseluruhan dana THM dengan pembayaran sebanyak RM61,680,261.87 bagi melunaskan bayaran faedah sukuk 1MDB Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).

“Pembayaran sebanyak RM61.68 juta yang dibiayai oleh dana THM adalah hanya sebahagian daripada jumlah pembayaran faedah IMTN yang berjumlah RM143.75 juta.

“Baki sebanyak RM82.07 juta telah dibiayai melalui dana pemulihan aset 1MDB yang berjumlah kira-kira RM1.45 bilion setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan komited untuk membayar semua obligasi pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

Beliau berkata, bayaran seterusnya yang perlu dibuat oleh 1MDB adalah bayaran faedah bon terbitan 1MDB Global Investments Limited (GIL) sebanyak USD66 juta (RM275.6 juta) yang akan dibayar pada 9 Mac 2020.

“Secara keseluruhannya, sebanyak RM13.9 bilion terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan untuk membiayai hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) sejak 2017 hingga 2020.

“Hutang 1MDB pada masa ini adalah berjumlah RM50.5 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada tahun 2039.

“Kerajaan juga ingin merakamkan penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia yang menyumbang ke dalam tabung ini,” katanya.

Berita Harian X