Jumaat, 29 November 2019 | 9:51pm

Mangsa banjir Terengganu cecah 900 orang

KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 875 orang daripada 258 mangsa di empat daerah, sehingga jam 9 malam ini.

Jumlah itu meningkat berbanding 420 mangsa daripada 134 keluarga di dua daerah iaitu Besut dan Setiu, setakat jam 5 petang tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Lef Kol (PA) Che Adam A Rahman, berkata sebanyak 20 pusat pemindahan dibuka di empat daerah iaitu Besut dan Setiu dengan Dungun dan Hulu Terengganu menjadi daerah terbaharu dilanda banjir.

Beliau berkata, daerah Besut merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu 457 orang daripada 113 keluarga di 10 PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenang; Dewan Terbuka Belaoh; Masjid Kampung La; SK Sri Payung dan Surau Seberang La.

Selain itu, katanya, mangsa turut dipindahkan di PPS Masjid Kampung Bukit Payong; Balai Raya Kampung Durian Telor; Surau Perumahan Pasir Akar dan Surau Kampung Bukit Mali dan Surau PPRT Kampung Belaoh.

Di Setiu, sejumlah 362 mangsa daripada 131 keluarga ditempatkan di enam PPS iaitu di Kampung Surau Kampung Hulu Seladang dan

SK Kampung Besut.

PPS turut dibuka di Balai Raya Kampung Besut; Masjid Kampung Merbau Menyusup; SK Kampung Kasar dan Surau Kampung Pengkalan Merbau.

PPS di daerah Dungun dan Hulu Terengganu pula mula dibuka sejak petang tadi dengan lapan mangsa daripada dua keluarga berada di satu PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Minda, Dungun.

Daerah Hulu Terengganu menyaksikan 48 mangsa daripada 12 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Kampung Cheting; Kampung Kemat dan Kampung Tapah.

Che Adam yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri berkata, walaupun cuaca di Besut agak baik ketika ini, pihaknya tidak menolak jumlah mangsa meningkat berikutan ramalan air pasang besar di Kampung Pantai, Kuala Besut malam ini.

“Keadaan banjir terutama di Besut dan Setiu agak buruk berikutan air naik antara satu hingga 1.5 meter. Banyak kawasan dan kenderaan ditenggelami air, malah ada juga rumah ditenggelami air sehingga paras bumbung,” katanya.

Berita Harian X