Selasa, 26 November 2019 | 2:22pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Asyraf Hamzah
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Asyraf Hamzah

18 CEO baharu dilantik sejak pentadbiran kerajaan baharu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menerima Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu sejak kerajaan baharu mengambil alih pada 8 Mei tahun lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata melalui lantikan baharu itu, gaji bagi lima CEO diturunkan, empat CEO dinaikkan dan sembilan CEO kekal.

“Jumlah keseluruhan gaji CEO baharu adalah lebih rendah berbanding gaji CEO terdahulu.

“Jumlah penjimatan adalah sebanyak RM87,050 sebulan atau RM1.04 juta setahun,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Guan Eng menjawab soalan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) yang meminta kementerian menyenaraikan semua syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) serta syarikat GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kawalan kementerian yang dilantik CEO baharu dan perbandingan gaji mereka dengan CEO terdahulu.

Guan Eng menegaskan, tiada ahli politik yang dilantik sebagai CEO di syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan GLIC di bawah kawalan Kementerian Kewangan, serta dalam lembaga pengarah syarikat berkenaan, kecuali lantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

“Bagaimanapun, Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi tidak menerima sebarang bayaran elaun tahunan dan elaun mesyuarat lembaga pengarah dalam Khazanah,” katanya.

Beliau memaklumkan, bagi memastikan calon CEO yang dilantik berwibawa, cekap, berpengalaman luas dan relevan dalam menerajui syarikat kerajaan, bayaran gaji yang kompetitif dipertimbangkan bagi menarik minat individu yang berkelayakan.

“Sudah tentu ia adalah lain daripada apa yang dibayar untuk elaun bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (di bawah pentadbiran lama), sehingga beliau boleh mendapat tambahan gaji RM56,000 sebulan atau ganjaran tambahan sebanyak RM3.8 juta antara 2012 dan Jun 2018,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Khairuddin sama ada kementerian berhasrat menjadikan buku biru yang dirujuk bagi pengurusan gaji CEO GLIC turut digunakan bagi GLC, selain melihat jurang gaji antara CEO dan kakitangan bawahan, Guan Eng berkata, ia bukan hanya perlu dilihat di peringkat kerajaan tetapi juga swasta.

Beliau berkata, program #MalaysiaKerja yang akan dilaksanakan kerajaan juga akan memberi tambahan dari segi insentif gaji bukan hanya kepada pekerja tetapi juga majikan supaya memberikan peluang pekerjaan dengan gaji yang munasabah.

“Apa yang penting, kita mahu memastikan prestasi yang ditunjukkan adalah berdasarkan kemampuan dan kecekapan dari segi pengurusan. Disebabkan itu, tiada ahli lembaga pengarah dilantik dalam kalangan orang politik khususnya wakil rakyat, tidak macam dulu.

“Kita akan lihat manfaat perubahan dasar ini di mana dalam empat ke lima tahun akan datang, disebabkan pimpinan yang profesional, prestasi syarikat akan menunjukkan pulangan yang baik kepada negara,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai kemajuan yang dicapai Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu lebih ramai berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik, Guan Eng berkata, BNM menubuhkan Dana Rumah Mampu Milik berjumlah RM1 bilion.

Jelasnya, dana itu membolehkan pembeli rumah pertama, terutama golongan muda mendapat pembiayaan institusi kewangan pelaksana melalui kadar pembiayaan konsesi yang lebih murah daripada pasaran semasa, iaitu sebanyak 3.5 peratus setahun dan tempoh pembiayaan yang lebih panjang selama 40 tahun atau sehingga umur 70 tahun.

Katanya, sejak dimulakan pada 2 Januari sehingga 31 Oktober lalu, lebih dari 3,100 permohonan bernilai RM596 juta sudah diluluskan.

"Bagi pembeli yang tidak berjaya mendapatkan pembiayaan, mereka boleh memanfaatkan Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP) untuk mendapat penjelasan lanjut berhubung sebab permohonan tidak berjaya serta khidmat nasihat untuk meningkatkan kelayakan pembiayaan pada masa hadapan," katanya.

Berita Harian X