Khamis, 21 November 2019 | 11:22am
TIMBALAN Speaker, Nga Kor Ming. - Foto Muhaizan Yahya
TIMBALAN Speaker, Nga Kor Ming. - Foto Muhaizan Yahya

Timbalan Speaker utus peringatan bermakna

KUALA LUMPUR: Sempena genap 60 tahun Dewan Rakyat bersidang hari ini, Timbalan Speaker, Nga Kor Ming, memulakan Sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) dengan dua pesanan bermakna.

Beliau memetik dua ungkapan daripada ilmuwan Islam terkemuka, Imam As-Syafie dan ahli falsafah China, Confucius, yang mendalam maksudnya untuk dijadikan panduan ahli Dewan.

“Oleh kerana hari ini genap 60 tahun Dewan Rakyat bersidang, saya tidak mahu berpantun seperti biasa, sebaliknya kita mulakan dengan mutiara kata.

“Imam As-Syafie berpesan, barang siapa yang menginginkan husnul khotimah (kebaikan), hendaklah ia selalu bersangka baik sesama manusia.

“Confucius pula berkata, ‘life is very simple but men insist on making it complicated’ (hidup ini mudah, tetapi manusia yang menyukarkannya).

“Sama-sama kita renungkan,” katanya sebelum meneruskan aturan bagi MQT.

Petikan dipilih Kor Ming itu dilihat amat relevan dengan beberapa insiden di Dewan Rakyat kebelakangan ini, termasuk penggunaan kata-kata kurang sopan seperti ‘bodoh’, ‘kepala hotak’ dan ‘stupid’ dalam kalangan Ahli Parlimen ketika sesi perbahasan.

Malah, ia berlanjutan ke lobi Dewan apabila perselisihan faham di antara Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said membawa kepada pertikaman lidah di depan khalayak.

Berita Harian X