Rabu, 20 November 2019 | 9:18am

Makanan tempatan antara tumpuan promosi TMM2020

LANGKAWI: Kepelbagaian makanan tempatan menjadi antara tumpuan promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Ini kerana sebagai negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan budaya, Malaysia sememangnya memiliki kelebihan pelbagaian makanan yang boleh ‘dijual’ kepada pelancong.

Malahan, dari segi statistik, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini saja, pelancongan menyumbangkan sebanyak RM4.5 bilion menerusi sektor makanan dan minuman (F&B), iaitu peningkatan sebanyak 8.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof. berkata melihat kepada kelebihan yang dimiliki Malaysia dari segi penawaran produk makanan tempatan, penjualan menerusi gastronomi antara perkara yang akan beri tumpuan untuk promosi TMM2020.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran promosi makanan Malaysia oleh 15 pengusaha hotel dan restoran Langkawi di sebuah resort terkemuka di di sini, malam tadi.

Sebanyak 25 jenis makanan dipromosikan oleh pengusaha hotel dan restoran di pulau peranginan bebas cukai ini antaranya peknga (lempeng tempatan), kuih qasidah, kerabu bronok, nasi dagang, emping jagung dan ubi kayu, laksa Mahsuri udang, sotong sumbat, kuih karas, peneram dan nasi lemak. - BERNAMA

Berita Harian X