Selasa, 19 November 2019 | 5:13pm
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap semasa sesi bicara Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Pusat Konvensyen Movenpick. - Foto Luqman Hakim Zubir
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap semasa sesi bicara Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Pusat Konvensyen Movenpick. - Foto Luqman Hakim Zubir

Tadbir urus baik elak rasuah, salah guna kuasa

SEPANG: Tadbir urus yang baik penting bagi sesebuah institusi agama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kegagalan tadbir urus menjadi punca kepada permasalahan besar termasuk rasuah dan salah guna kuasa.

“Tanpa tadbir urus yang baik, seluruh sistem itu akan longgar seterusnya terhakis keyakinan terhadap sesebuah institusi agama.

“Justeru, itu tercelanya akauntabiliti dan kebertanggungjawaban sehingga berlaku peruntukan disalah guna dan sebagainya.

“Institusi agama perlu kembali kepada perkara asas, etika dan moral yang sangat berkait rapat dengan tadbir urus yang baik. Jadikan isu tadbir urus ini sebagai sesuatu yang penting untuk diteliti dan dikaji tahap keberkesanannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bicara Khas bertajuk Ilmuwan Islam dan Visi Nahdah Asia Tenggara sempena Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, walaupun bercambahnya institusi dakwah di negara ini, permasalahan sosial juga bertambah.

“Kekuatan Islam itu dari segi rasionalnya tidak memungkinkan gejala maksiat dan kemungkaran berleluasa. Tetapi kenyataannya, ia (gejala sosial) masih berleluasa.

“Begitu juga rasuah. Disebabkan itu soal tadbir urus ini sangat penting yang mana cabaran untuk melaksanakannya juga adalah besar,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menggesa institusi perbankan Islam di Malaysia untuk benar-benar memenuhi prinsip Maqasid Syariah dalam operasi perniagaan mereka.

Katanya, perbankan Islam terutamanya dilihat masih belum memenuhi prinsip berkenaan seterusnya gagal untuk melaksanakan tujuan sebenar sistem perbankan Islam yang diperkenalkan di negara ini.

“Bank-bank Islam perlu memenuhi prinsip Maqasid Syariah sebagai satu institusi dan sistem yang boleh dianggap berkesan dan boleh menyelamatkan ekonomi umat serta mempunyai penyertaan yang ramai dan memanfaatkan,” katanya.

Berita Harian X