Isnin, 18 November 2019 | 10:53am
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

ADUN Gadek tidak hadir sidang DUN Melaka

AYER KEROH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan, tidak akan menghadiri sidang ke-14 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Speaker DUN, Datuk Wira Omar Jaafar pada pembukaan sidang berkenaan hari ini meluluskan permohonan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri itu untuk tidak hadir sepanjang sidang DUN berlangsung.

“Persidangan ini berlangsung selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 26 November depan dan saya meluluskan permohonan dikemukakan ADUN Gadek,” katanya di sini, sebentar tadi.

Saminathan yang juga ADUN dari DAP sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), November tahun lalu.

Sementara itu, persidangan bermula kira-kira jam 9.30 pagi tadi kecoh kira-kira lima minit apabila Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) bangun dan mencadangkan ketidakhadiran Saminathan dibahaskan menerusi usul kerana membabitkan dakwaan pembabitan dalam keganasan antarabangsa, LTTE.

Bagaimanapun, cadangan itu dibantah Tey Kok Kiew (PH-Banda Hilir) atas alasan ucapan Speaker DUN tidak boleh dibahas.

Omar bagaimanapun membuat keputusan menolak usul berkenaan malah sudah dibuat secara bertulis dan ia muktamad.

Berita Harian X