Rabu, 13 November 2019 | 7:25pm
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari

Wabak Chikungunya di Perak dijangka berakhir hujung bulan ini

IPOH: Seramai 71 orang dikesan mengidap penyakit Chikungunya di tiga daerah di Perak sejak 18 Oktober lalu dengan kes terbanyak dikesan di Kampung Baru Air Kuning di daerah Batang Padang yang juga diisytiharkan sebagai `lokasi panas’ wabak berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan, berkata sebanyak 44 kes dikesan di daerah Batang Padang, diikuti 16 kes di daerah Larut Matang Selama (LMS) dan 11 kes di daerah Kampar.

“Daripada jumlah itu, kawasan Kampung Baru Air Kuning mencatatkan kadar jangkitan tertinggi iaitu 21 kes diikuti Pokok Assam Zon 2 daerah LMS (12 kes) manakala pekan Bidor dan Taman Tapah dalam daerah Batang Padang masing-masing lapan kes.

“Kita memandang serius kes ini tetapi menjangkakan wabak ini akan berakhir secara berperingkat dalam tempoh 20 hingga 25 November ini,” katanya di sini hari ini.

Setakat hari ini, hanya tiga pesakit baharu dikesan iaitu di kawasan Malim Nawar dalam daerah Kampar tetapi dijangka pulih dalam tempoh empat hari akan datang.

Penyakit Chikungunya tidak begitu bahaya sehingga boleh mengakibatkan kematian seperti jangkitan denggi walaupun ia berpunca daripada sumber sama iaitu nyamuk Aedes.

Justeru, tiada keperluan untuk kerajaan negeri melakukan kuarantin terhadap mana-mana lokasi atau kawasan disebabkan wabak berkenaan. Justeru maklumat yang viral dalam media sosial meminta orang ramai mengelak daripada mengunjungi Tapah dan Bidor dalam tempoh terdekat adalah tidak tepat.

“Sebagai contoh, di pekan Bidor yang mempunyai kira-kira 5,000 penduduk, hanya ada lapan kes kumulatif (dikesan dalam tempoh 18 Oktober hingga sekarang). Jadi adalah tidak tepat melarang orang ramai pergi ke Bidor semata-mata kerana takut wabak ini,” katanya.

Setakat ini, Jabatan Kesihatan negeri mendapat kerjasama yang baik daripada agensi kerajaan lain dan penduduk dalam usaha menangani dan membendung wabak itu.

Terbaharu, lebih 50 penduduk secara sukarela mengambil bahagian dalam program gotong-royong yang dilaksanakan di satu lokasi terbabit pada Sabtu lalu.

Dalam usaha mengekang penularan wabak, pihak berkuasa terutama Jabatan Kesihatan menghadapi beberapa kekangan antaranya masalah untuk memasuki premis tiada penghuni, berkunci dan tidak dijaga dengan bersih.

Isu itu dikatakan bukan hanya berlaku di Perak malah seluruh negara yang mana pemilik rumah boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak kerajaan memasuki premis mereka dengan alasan menceroboh.

Sehubungan itu, Sivanesan berkata, pihaknya mengkaji untuk menggubal undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang membenarkan pegawai kerajaan memasuki sesuatu premis tanpa perlu kebenaran pemilik jika ia membabitkan keselamatan awam.

“Buat masa ini, saya sudah mengarahkan pegawai kesihatan untuk masuk sahaja mana-mana premis yang dikenal pasti menjadi punca wabak jangkitan denggi dan Chikungunya dan jika pemilik mengambil tindakan undang-undang, kerajaan akan membela mereka,” katanya.

Berita Harian X