Rabu, 13 November 2019 | 4:02pm
DR Xavier Jayakumar (tengah) beramah mesra dengan sebahagian pelajar selepas menyerahkan peralatan sekolah dan keselamatan kepada sempena program kembali ke sekolah bagi semester baru 2020 di Pekarangan Pejabat Tapak, Projek Pembetungan Langat MMC Pembetungan Langat. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin
DR Xavier Jayakumar (tengah) beramah mesra dengan sebahagian pelajar selepas menyerahkan peralatan sekolah dan keselamatan kepada sempena program kembali ke sekolah bagi semester baru 2020 di Pekarangan Pejabat Tapak, Projek Pembetungan Langat MMC Pembetungan Langat. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Projek CSTP bakal diserah kepada kerajaan pada Ogos 2020

KAJANG: MMC Corporation Bhd (MMC) dijangka menyerahkan Projek Rawatan Pembetungan Langat (CSTP) kepada Kerajaan Persekutuan pada Ogos 2020, sebelum operasinya diserahkan pada Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar, berkata ketika ini MMC akan melakukan kerja-kerja membaik pulih jalan raya, kediaman dan bangunan di sekitar Hulu Langat yang rosak ketika pembinaan projek CSTP dilaksanakan.

MMC juga sedang berunding dengan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) untuk menggunakan laluan lebuh raya untuk memudahkan mereka mengangkut bahan binaan ke tapak projek terbabit.

“Saya harap semua kerja-kerja pembinaan CSTP dan membaik pulih jalan raya berkenaan dapat disiapkan menjelang Ogos 2020 sebelum projek ini diserahkan kepada kerajaan.

“Apabila siap kelak MMC akan menyerahkan bangunan pejabat pengurusan tapak projek CSTP ini kepada penduduk kampung untuk diubah suai menjadi sekolah tahfiz seperti dijanjikan kerajaan sebelum ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan pelbagai peralatan sekolah sempena Program Kembali Ke Sekolah anjuran MMC di tapak CSTP di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Xavier berkata beliau gembira kerana Projek Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat yang menelan kos keseluruhan RM1.5 bilion menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) dan RMK-11, kini sudah mula beroperasi.

Beliau berkata, ia dijangka mampu meningkatkan mutu perkhidmatan pembetungan bagi kawasan tadahan seluas 77 kilometer persegi merangkumi Cheras Jaya, Cheras Batu 11, Kajang 1 dan Kajang 3.

Projek pembinaan CSTP yang hanya menggunakan tanah seluas 7.3 hektar itu menggunakan kepakaran Jepun ‘Deep Aeration Method’ yang mampu mengurangkan ‘carbon footprint’ berganding dengan ‘Step-Feed Multi Stage De-Nitrification.

Penggunaan teknologi baharu itu juga mampu meningkatkan tahap penyingkiran ammonia dan nitrogen sehingga mencecah 80 peratus mengikut Piawaian A Kategori had parameter efluen dalam peraturan Kualiti Alam Sekitar Sekeliling (Kumbahan) 2009 dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Ini bermakna semua air kumbahan dilepaskan ke Sungai Langat dan menyumbang ke arah menjadikannya lebih bersih dan bebas pencemaran, sekali gus mengelak berlakunya masalah gangguan bekalan air kepada penduduk di sekitar kawasan Hulu Langat.

“Apabila siap kelak, projek ini mampu menampung keperluan rawatan kumbahan sehingga mencecah 920,000 PE atau bersamaan dengan 207 juta liter/sehari (MLD) bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang,” katanya yang memaklumkan operasi loji berkenaan akan diserahkan kepada IWK menjelang akhir 2023.

Dr Xavier menegaskan kejayaan berkenaan juga membolehkan IWK menutup 232 loji rawatan kumbahan kecil sedia ada di kawasan Cheras-Kajang yang kini sudah uzur dan sering menghadapi pelbagai masalah.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa gembira dan mengucapkan terima kasih kepada MMC kerana menghulurkan sumbangan pelbagai peralatan sekolah termasuk beg dan alat tulis kepada lebih 440 murid dan pelajar dari kategori berpendapatan rendah (B40) dari 22 sekolah rendah dan menengah di sekitar daerah Hulu Langat yang terbabit dengan projek CSTP.

Berita Harian X