Sabtu, 2 November 2019 | 12:22pm
Gambar fail, Penaung Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Asyraf Hamzah
Gambar fail, Penaung Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Asyraf Hamzah

Timbang hukuman penjara mandatori untuk pemburu haram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertimbangkan hukuman penjara mandatori terhadap mana-mana pemburu haram dan mereka yang didakwa serta terbukti bersalah bersubahat dengan pemburu haram termasuk orang kenamaan.

Penaung Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata terdapat keperluan mendesak untuk mengkaji undang-undang sedia ada terutama berkaitan pemburuan haiwan, bagi melindungi spesies terancam.

Katanya, kerajaan perlu mempercepatkan usaha meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 supaya pemburu haram boleh dipenjara lebih daripada 10 tahun dan didenda sehingga RM5 juta jika disabitkan kesalahan.

“Ini tepat pada masanya memandangkan kes-kes pemburuan haram mengancam spesies yang dilindungi. Kita perlu mengambil kira cadangan polis untuk mengenakan hukuman rotan mandatori bagi penjenayah yang terbabit dalam penyeludupan hidupan liar dan mengetatkan syarat mengeluarkan lesen senjata api dan permit memburu.

“Kerajaan perlu mengukuhkan kerjasama dalam kalangan agensi penguatkuasaan termasuk meningkatkan jumlah anggota tentera atau polis untuk memeriksa dan mencegah pemburuan haram terutama di kawasan hutan simpan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pendedahan pihak polis bahawa ada orang kenamaan terbabit dalam pemburuan haram haiwan liar termasuk spesies terancam, menunjukkan betapa seriusnya masalah ini, sekali gus memaksa langkah drastik diambil untuk mengatasinya.

“Banyak spesies haiwan di Malaysia akan pupus jika tiada langkah drastik diambil untuk menangani isu pembunuhan dan pemburuan haram yang semakin kritikal.

“Perdagangan hidupan liar berlaku di seluruh dunia dengan negara-negara mempunyai kepelbagaian biodiversiti yang tinggi seperti Malaysia menjadi sumber, kawasan transit dan hab bagi spesies yang diseludup,” katanya.

Beliau berkata, laporan Suruhanjaya Keadilan Hidupan Liar pada 2016 mendedahkan Kuala Lumpur tempat paling mudah untuk memindahkan hidupan liar secara haram.

“Laporan itu mendedahkan kos ditanggung pengedar adalah 50 peratus lebih rendah jika memindahkan barangan terlarang melalui KLIA dan KLIA2, berbanding Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok,” katanya.

Katanya, melindungi hidupan liar dan khazanah alam semula jadi bukan tanggungjawab agensi penguatkuasaan saja tetapi memerlukan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), kerajaan, sektor korporat dan masyarakat setempat.

“Kesedaran awam lebih luas, penguatkuasaan undang-undang lebih baik dan kemahuan politik diperlukan untuk mencegah aktiviti pemburuan haram dan perdagangan hidupan liar selain mengatasi eksploitasi berlebihan sumber semula jadi,” katanya.

Berita Harian X