Rabu, 30 Oktober 2019 | 6:12pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. - Foto Mohd Yusni Ariffin
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KPKT pertimbang skim baucar bantu mahasiswa, belia

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menimbang untuk memperkenalkan skim baucar iaitu pemberian subsidi bagi membantu orang muda memperoleh sewa kediaman pada kadar berpatutan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata dasar ini sedang diteliti pihaknya dan dijangka memberi manfaat bukan saja golongan pekerja muda, malah pelajar di universiti.

“KPKT sedang merancang skim baucar ini, ada subsidi (akan) diperkenalkan. Kini masih dalam perancangan, belum lagi habis,” katanya menjawab persoalan berkenaan isu pelajar universiti yang terpaksa menyewa kediaman pada kadar tinggi.

Persoalan itu dibangkitkan Mohd Shahar Abdullah (BN UMNO-Paya Besar) ketika mencelah pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Zuraida berkata, satu mesyuarat membabitkan Menteri Besar juga sudah diadakan bagi membincangkan pengambilalihan tanah yang lebih kecil di kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD) untuk pembinaan projek perumahan yang sesuai untuk golongan muda.

“Ini (ambil tanah) dibangkitkan sendiri Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dalam mesyuarat bersama Menteri Besar. Kita akan bina di antara TOD yang ada LRT (Transit Aliran Ringan) yang mana ada tanah sudut untuk kita bina rumah,” katanya.

Sebelum ini, beliau berkata perumahan seperti apartmen dan kondominium di kawasan TOD yang dirancang selepas ini tiada ruang tempat letak kereta, sekali gus mengurangkan harga rumah.

Projek itu bagi membolehkan orang muda yang baru bekerja dan mahasiswa, menyewa kediaman itu pada kadar berpatutan, selain memudahkan pergerakan mereka menggunakan pengangkutan awam.

Sementara itu, Zuraida berkata, kerajaan masih meneruskan inisiatif pembinaan rumah transit untuk kemudahan belia seperti dilaksana kerajaan terdahulu.

Mengulas projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), beliau berkata, kementerian sememangnya menetapkan kriteria ketat dari segi pemilihan lokasi pembinaan projek berkenaan.

“Tapak PR1MA yang kita kenal pasti perlu ada lawatan tapak. Banyak tanah yang kita tolak, sebab tidak memenuhi kriteria atau dapat menjayakan pembinaan rumah mampu milik,” katanya.

Berkait isu lambakan rumah tidak terjual, beliau berkata, satu pangkalan data sedang dibangunkan kementerian bagi meneliti dan menganalisis berkenaan permintaan, harga dan lokasi rumah.

“Data ini membolehkan kita membuat keputusan dan penilaian sama ada kita nak luluskan sesuatu permohonan (pembinaan rumah baharu oleh pemaju) dan kita lihat bagaimana kepadatan untuk sesuatu lokasi dan tempat itu,” katanya.

Berita Harian X