Isnin, 28 Oktober 2019 | 9:55pm
Musim hujan dan persekitaran yang lembap boleh menyebabkan berlakunya pembiakan nyamuk aedes.
Musim hujan dan persekitaran yang lembap boleh menyebabkan berlakunya pembiakan nyamuk aedes.

10 minit seminggu cegah pembiakan aedes - pakar

KUALA LUMPUR: Umum mengetahui bahawa musim hujan dan persekitaran yang lembap boleh menyebabkan berlakunya pembiakan nyamuk aedes di tempat air bertakung sehingga membawa pelbagai penyakit seperti demam denggi, chikungunya dan zika.

Pencegahan boleh dilakukan jika masyarakat mempunyai kesedaran dengan meluangkan masa 10 minit seminggu untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan serangga itu yang boleh mengancam nyawa manusia.

Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor Kementerian Kesihatan, Dr Rose Nani Mudin, berkata bagi mengekang pembiakan nyamuk aedes, masyarakat diminta melaksanakan aktiviti pencegahan seperti membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan aedes di kediaman dan premis.

“Semasa musim hujan, tempat yang menakung air boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Aktiviti pembersihan persekitaran termasuk menghapuskan tempat atau bekas yang menakung air dan menjadi tempat pembiakan aedes menjadi keutamaan.

“Luangkan masa selama 10 minit seminggu untuk melakukan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan aedes,” katanya.

Dr Rose Nani berkata perubahan iklim terutama dengan musim hujan dan panas silih berganti merupakan antara faktor kepada wabak penyakit disebabkan nyamuk aedes.

Antara langkah lain yang boleh diambil sebagai langkah pencegahan ialah menggunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah serta penghalau nyamuk selain memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah terutama apabila berada di luar rumah.

Selain itu, penggunaan bahan pembunuh jentik-jentik di dalam bekas takungan air kekal atau sukar dibersihkan serta memasang jaring nyamuk di tingkap dan pintu rumah dapat menghalang nyamuk daripada memasuki kediaman.

Menurutnya, nyamuk aedes adalah pembawa bagi penyakit demam denggi, chikungunya, zika dan yellow fever namun penyakit yellow fever tidak berlaku di Malaysia.

Dalam tempoh Januari hingga 20 Oktober lalu, jumlah kes demam denggi ialah 106,660 kes berbanding 59,657 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 78.8 peratus (47,003 kes) dengan 153 kematian berbanding 101 kematian bagi tempoh sama iaitu peningkatan kematian sebanyak 51.5 peratus (52 kematian).

Selangor mencatat jumlah paling tinggi kes demam denggi iaitu 59,001 diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (13,242), Johor (9,037), Kelantan (4,894), Sabah (4,348) serta Pulau Pinang (3,735).

Kementerian Kesihatan pada 15 Oktober lalu turut melaporkan penyakit disebabkan virus zika pula adalah sebanyak sembilan kes iaitu satu kes pada tahun ini dan lapan kes pada 2016.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran Universiti Teknologi MARA, Prof Madya Dr Nazri Che Dom, berkata Malaysia mempunyai kelembapan yang tinggi dan keadaan itu adalah kondusif kepada pembiakan dan ketahanan populasi vektor, kepantasan proses replikasi virus serta boleh memberi kesan kepada corak hidup nyamuk, seperti masa mengawan dan ‘oviposition’.

Beliau berkata nyamuk aedes dapat membiak dengan populasi yang banyak dalam masa yang singkat iaitu seminggu sahaja.

“Kawasan pembiakannya adalah di dalam bekas-bekas air bertakung seperti tayar lama, tin, botol, bekas pasu bunga, lubang pokok dan sebagainya. Nyamuk akan bertelur di kawasan air yang bertakung walaupun air itu cuma sedikit,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X