KUALA LUMPUR: Semua 23 inisiatif yang diperakukan Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 1 2019 pada 21 Ogos lalu, mula dilaksanakan pada beberapa peringkat.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataannya memaklumkan bagi inisiatif jangka masa pendek dan berbentuk perubahan dasar, keputusan serta kelulusan dasar diperoleh dan mula dilaksanakan.
“Bagi inisiatif jangka masa sederhana dan panjang serta memerlukan peruntukan kewangan pula, langkah-langkah perancangan dan reka bentuk teknikal sedang dilaksanakan dan kerja-kerja pembangunan iaitu ubah suai dan naik taraf bangunan akan bermula pada 2020.
“Manakala penambahbaikan dan tambahan peralatan untuk sistem kawalan pintu masuk seperti Malaysian Automated Clearance System (MACS) dan M-BIKE, sebahagiannya bermula dan akan selesai tahun hadapan,” kata kenyataan itu.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas, hari ini juga diberi taklimat mengenai status terkini inisiatif yang sudah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor berkenaan.
Beliau juga sudah dimaklumkan kaunter tambah nilai Touch N Go di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) ditutup manakala kiosk tambah nilai Touch N Go di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) pula akan ditutup bermula pada 29 Oktober ini.
“Tempoh ini diberikan bagi membolehkan hebahan kepada semua pengguna dibuat secara meluas dan mengelakkan kesesakan disebabkan oleh pengguna yang kekurangan baki nilai dalam kad Touch N Go.
“Jawatankuasa ini juga dimaklumkan mengenai pelan komunikasi berkesan yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya hebahan mengenai inisiatif kerajaan menangani kesesakan dan informasi terkini trafik dapat dibuat secara teratur dan sampai kepada kumpulan sasar,” kata kenyataan itu lagi.
Justeru, kenyataan itu menyatakan Muhyiddin menggesa semua lima Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) melipat ganda usaha untuk memastikan semua inisiatif dilaksanakan mengikut jadual, manakala pihak yang diberi tanggungjawab dalam aspek operasi di pintu masuk, khususnya Jabatan Imigresen dan polis, sentiasa memantau kesesakan di kedua-dua CIQ.
“Mereka juga perlu membuat keputusan segera bagi mengurangkan kesesakan seperti cuti perayaan Deepavali yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini,” kata kenyataan itu.
Pada 21 Ogos lalu, Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor memperakukan 23 inisiatif yang dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Bagi membolehkan pelaksanaan itu, kerajaan meluluskan peruntukan RM85 juta pada 2020 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, 11 Oktober lalu.
Bagi memastikan semua inisiatif dilaksanakan dengan segera, KDN menubuhkan lima TWG supaya semua inisiatif berkenaan digerakkan secara serentak.
Lima TWG berkenaan adalah TWG1: Naik Taraf Kompleks Pintu Masuk dan Tambak Johor; TWG 2: Dasar Sumber Manusia; TWG 3: Naik Taraf Automated Check Point & Border System; TWG 4: Kajian Kebolehlaksanaan serta TWG 5: Pengurusan Pelan Komunikasi.
Keanggotaan TWG ini terdiri daripada pegawai pelbagai kementerian dan agensi antaranya Jabatan Perdana Menteri,
Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, PLUS Malaysia Berhad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.