Selasa, 22 Oktober 2019 | 7:23pm
Ahli Parlimen Semberong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen. - Foto Aswadi Alias
Ahli Parlimen Semberong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen. - Foto Aswadi Alias

Pengganas tidak tunggu Kertas Putih Pertahanan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan perlu menyegerakan pembentangan Kertas Putih Pertahanan (KPP) bagi memastikan hala tuju yang jelas dalam sektor pertahanan negara.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) yang juga bekas Menteri Pertahanan berkata penangguhan pembentangan KPP beberapa kali menyebabkan hala tuju Kementerian Pertahanan tidak jelas sekali gus menyukarkan pegawai melaksanakan tugas.

Bagi beliau, jumlah peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 bagi kementerian berkenaan tidak bermakna tanpa hala tuju jelas oleh Menterinya, Mohamad Sabu.

Malah, peruntukan RM15.6 bilion dalam Belanjawan 2020 bagi Kementerian Pertahanan didakwa tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur dalam memartabatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Tahun lalu, Kementerian Pertahanan dibekalkan dengan peruntukan hampir sama namun tiada satu pun inisiatif besar dan perancangan strategik yang kementerian laksanakan.

“Apabila ditanya apa perancangan kementerian, jawapan mereka mudah, tunggu KPP. Masalahnya setakat ini sudah enam kali menteri berjanji hendak bentangkan KPP,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Hishammuddin menjelaskan, perkara lebih penting yang seharusnya menjadi keutamaan kerajaan adalah mengenai inisiatif dan perancangan Kementerian Pertahanan bagi tahun depan.

Malangnya, beliau mendakwa Belanjawan 2020 hanya menyentuh empat perkara membabitkan ketenteraan tanpa sebarang perancangan strategik termasuk isu keselamatan di Sabah dan Sarawak.

Menjawab celahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) mengenai keselamatan di Laut China Selatan, Hishammuddin secara sinis meminta supaya menunggu KPP dibentangkan.

“Saya boleh tolong jawab bagi pihak Menteri Pertahanan...tunggu Kertas Putih Pertahanan.

“Saya nak beritahu, pengganas tidak menunggu kertas putih kita ini,” katanya disambut ketawa ahli dewan.

Beliau juga menolak alasan Menteri Pertahanan masih baharu dan memerlukan masa kerana apa yang perlu dilakukan oleh menteri ialah menentukan hala tuju bagi memudahkan pegawai yang berpengalaman di kementerian melaksanakan tugas mereka.

Justeru, beliau meminta kerajaan supaya melaksanakan lebih banyak inisiatif dalam menjamin keselamatan negara selain menjaga kebajikan warga ATM.

Berita Harian X