Selasa, 22 Oktober 2019 | 5:26pm
Gambar fail, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Aizuddin Saad
Gambar fail, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Aizuddin Saad

RM5.1 bilion bayar hutang 1MDB, SRC untuk dua tahun - Guan Eng

PUTRAJAYA: Kerajaan membelanjakan sejumlah RM5.1 bilion, tahun ini dan tahun depan, bagi melunaskan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta SRC International Sdn Bhd (SRC).

Daripada jumlah itu, RM2.4 bilion adalah untuk tahun ini, manakala RM2.7 bilion pula tahun depan bagi melunaskan bayaran khidmat hutang 1MDB dan SRC.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan tetap komited membayar semua obligasi pinjaman diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

Beliau berkata, pada 18 Oktober lalu, 1MDB sudah membayar AS$50.31 juta bagi pelunasan bayaran faedah bon terbitan 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL).

“Bon ini yang bernilai AS$1.75 bilion, diterbit pada 19 Oktober 2012 dan akan matang pada 18 Oktober 2022. Bayaran itu sudah dibuat dengan menggunakan dana pemulihan aset 1MDB yang berjaya dikembalikan sebanyak kira-kira RM1.45 bilion setakat ini.

“Untuk baki tahun ini, ada dua lagi bayaran perlu dibuat oleh 1MDB. Bayaran faedah bon 1MDB Energy Ltd (1MEL) sebanyak AS$52.4 juta akan dibuat pada 11 November depan.

“Bayaran faedah sukuk Islamic Medium Term Note (IMTN) sebanyak RM143.75 juta akan dibuat pada 29 November depan.

“Hutang dan liabiliti 1MDB (termasuk faedah) pada masa ini ialah sebanyak RM51 bilion. Ini termasuk RM8.93 bilion yang sudah dibayar Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Guan Eng menegaskan, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap benar apabila menyatakan bahawa adalah satu keajaiban Malaysia tidak jatuh bankrap akibat kerosakan dilakukan rejim kleptokratik terdahulu yang menjadikan tabung negara milik peribadi.

Malah, beliau menjelaskan, seperti yang Perdana Menteri katakan, kerosakan itu bukan saja dari segi kewangan tetapi juga keinstitusian.

“Dr Mahathir berkata bahawa salah satu cabaran terbesar selepas menumbangkan rejim kleptokratik ialah membersihkan kerosakan yang ditinggalkan dan membina semula negara kerana ia memerlukan banyak usaha, masa serta kewangan, sambil menambah ‘Apa yang kami temui adalah jauh lebih teruk daripada apa yang kami percaya’.

“Kesan kejadian itu, sebanyak RM5.1 bilion akan diguna melunaskan hutang 1MDB dan SRC bagi dua tahun ini saja, wang ‘rompakan’ yang sepatutnya boleh digunakan untuk kebajikan rakyat.

“Sungguhpun menanggung beban hutang yang berat ini, Kerajaan Persekutuan masih mampu menunaikan amanah menjalankan pembangunan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Berita Harian X