Isnin, 21 Oktober 2019 | 8:02pm
Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Insentif khas pegawai, kakitangan imigresen

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta mempertimbangkan bayaran insentif imigresen (BIIM) RM200 kepada anggota Jabatan Imigresen yang bertugas di pintu masuk negara.

BIIM itu penting sebagai insentif kepada anggota agensi terbabit yang terdedah kepada risiko tugasan terutama ketika berurusan dengan warga asing.

Buat masa ini, anggota dan pegawai di bawah Skim Perkhidmatan Imigresen bagi gred KP19 hingga KP26 dan Skim Perkhidmatan Bersepadu Penolong Penguasa Imigresen bagi gred KP29 hingga KP54 tidak menerima insentif berkenaan.

Gesaan itu dibuat Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PH-Tanah Merah) memandangkan beban tugas ditanggung anggota dan pegawai Jabatan Imigresen yang semakin bertambah.

“Saya menyokong peruntukan RM16.9 bilion kepada KDN menerusi Belanjawan 2020. Di sini, saya ingin menggesa supaya KDN memberi perhatian kepada kakitangan Jabatan Imigresen.

“Saya ingin meminta kepada KDN supaya anggota pegawai agensi ini bukan sahaja diberikan kelengkapan menjaga kesihatan malah imbuhan khas seperti BIIM dalam menghargai tugasan mereka,” katanya membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut meminta KDN menaik taraf pejabat agensi itu dalam usaha menyediakan persekitaran tempat kerja yang selesa, bersih dan selamat.

“Saya membangkitkan isu ini kerana hasil pemerhatian ketika mengunjungi pejabat Jabatan Imigresen baru-baru ini mendapati bukan sahaja sesak malah ada kalangan warga asing yang berbaring dan tidur di situ sementara menanti giliran.

“Suasana seperti ini tidak baik untuk pegawai dan anggota Imigresen yang bertugas,” katanya.

Ikmal Hisham menjelaskan, biarpun Jabatan Imigresen bukan pasukan penguat kuasa utama, pegawai dan anggotanya terdedah kepada bahaya khususnya kesihatan setiap hari.

Berita Harian X