KUALA LUMPUR: Kewangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dikhuatiri terjejas jika dana agensi itu digunakan untuk membiayai pembinaan pusat rehabilitasinya yang baharu membabitkan kos RM500 juta di Perak.
Justeru, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan mempertimbangkan semula cadangan itu yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020, 11 Oktober lalu.
Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata MTUC amat bimbang mengenai kelangsungan dan keupayaan PERKESO untuk terus menyalurkan bantuan kepada pekerja, terutama yang membabitkan pampasan serta pembayaran, sekiranya dana agensi itu digunakan bagi membina dan mengurus pusat berkenaan kelak.
Beliau menegaskan, MTUC tidak membantah cadangan pembinaan Pusat Rehabilitasi PERKESO, malah menggalakkan penyediaan lebih banyak kemudahan sedemikian demi manfaat pekerja, namun ingin membangkitkan beberapa persoalan berkaitan.
“Sebagaimana diumumkan kerajaan, projek bawah Belanjawan 2020 ini akan dibiayai melalui dana PERKESO yang rata-rata adalah caruman majikan dan pekerja yang kebanyakannya merangkumi golongan berpendapatan rendah.
“Berpandukan pengalaman lampau, kos pembinaan dijangka meningkat hingga 30 peratus apabila projek ini siap kelak. Pembinaan Pusat Rehabilitasi PERKESO di Melaka meningkat daripada RM200 juta kepada RM275 juta apabila ia siap dibina pada 2014,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau berkata, kerajaan diminta membiayai sendiri projek pembinaan itu, selain menyerahkan tanggungjawab mengurus serta mengendalikan Pusat Rehabilitasi PERKESO di Melaka dan Ipoh kelak kepada Kementerian Kesihatan yang memang memiliki bidang kuasa serta kepakaran melaksanakannya.
“Jika dana PERKESO tidak digunakan secara berhemah, ia akan menjejaskan keupayaan jangka panjang organisasi itu untuk menyediakan faedah hilang upaya sementara dan kekal, pencen ilat serta faedah sampingan lain,” katanya.
Beliau berkata, MTUC sekali gus menggesa Kementerian Sumber Manusia menggunakan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) untuk memperincikan butiran pelaksanaan projek pembinaan pusat rehabilitasi di Perak itu.
“Lembaga Pengarah PERKESO juga harus mengambil pendekatan sama dengan mendukung semangat Konvensyen 144 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), bersabit Rundingan Tripartite.
“Rundingan sedemikian boleh mengusulkan pendekatan untuk menjayakan projek berkenaan dan pada masa sama, memastikan keutuhan PERKESO,” katanya.