Ahad, 20 Oktober 2019 | 3:25pm
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - NSTP/Asyraf Hamzah
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - NSTP/Asyraf Hamzah

Tahanan berhak dapat khidmat peguam - PAS

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan bantuan khidmat guaman ditawarkan MIC kepada individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan pertubuhan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), sebagai hak pihak berkenaan mendapat keadilan.

Tidak melihatnya sebagai tanda sokongan MIC terhadap LTTE, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata langkah memberi khidmat peguam bagi memastikan seseorang yang ditahan mendapat hak seperti dijamin undang-undang, adalah selaras prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’.

“Sekiranya dibuktikan bersalah dan disabitkan oleh mahkamah, semua pihak perlu akur dan menyerahkannya kepada proses undang-undang untuk dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, PAS atas dasar kepentingan awam dan keselamatan negara, mendesak kerajaan mengemukakan Kertas Putih di Parlimen mengenai kegiatan berbentuk sokongan kepada aktiviti keganasan di negara ini.

Langkah itu, jelas Takiyuddin, akan membolehkan tindakan undang-undang sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak terutama pimpinan politik yang didapati memesongkan pemikiran rakyat.

Sebelum ini, polis menahan tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP iaitu EXCO Melaka, G Saminathan dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, kerana didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE.

Mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)

Susulan itu, MIC menawarkan khidmat guaman kepada mereka yang ditahan.

Berita Harian X