Khamis, 17 Oktober 2019 | 5:55pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ke Majlis Pelancaran Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 di KL Sentral. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ke Majlis Pelancaran Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 di KL Sentral. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

DPN 2019-2030 penting bagi memacu ekonomi negara

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pelaksanaan Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2037 penting bagi menetapkan hala tuju jelas lagi terperinci bagi sektor pengangkutan yang menjadi pemacu pertumbuhan negara.

Perdana Menteri berkata DPN 2019-2030 membantu menyediakan sistem pengangkutan yang berkualiti dan membantu usaha kerajaan memenuhi aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

“Sejak sekian lama, negara membangunkan pelbagai infrastruktur termasuk pengangkutan bagi sektor darat, udara dan laut, ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara pada peringkat global.

“Kerana itu, perlu kita sediakan satu hala tuju strategik bagi memastikan pembangunan sistem pengangkutan yang cekap, bersepadu dan mampan dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran DPN 2019-2030 di sini, hari ini.

Antara perkara utama yang diberi perhatian dan akan ditangani melalui DPN 2019-2030 adalah perkembangan teknologi terkini dan perubahan mobiliti rakyat dengan berkembangnya e-dagang .

“Perkembangan teknologi termasuk e-dagang perlu dimanfaat sepenuhnya oleh semua pihak termasuk pemain industri pengangkutan, dan usahawan dalam bidang pengangkutan bagi mendapatkan faedah ekonomi,” katanya.

Berita Harian X