Selasa, 15 Oktober 2019 | 7:57pm
TUN Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyampaikan ucapan perasmian Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Hospital Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hafiz Sohaimi
TUN Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyampaikan ucapan perasmian Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Hospital Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hafiz Sohaimi
TUN Dr Siti Hasmah Mohd Ali melakukan gimik Perasmian Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Hospital Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir Dr Heric Corray (dua kiri). - Foto NSTP/Hafiz Sohaimi
TUN Dr Siti Hasmah Mohd Ali melakukan gimik Perasmian Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Hospital Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir Dr Heric Corray (dua kiri). - Foto NSTP/Hafiz Sohaimi

Tun Dr Siti Hasmah kongsi pengalaman sebagai kanser 'survivor'

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali semalam mendedahkan, beliau pernah berjuang melawan kanser payudara yang dihadapinya pada Mac lalu.

Berkongsi berita mengejutkan itu ketika berucap sempena Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, KL Pink October 2019 di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siti Hasmah berkata, beliau menyedari perubahan pada dirinya dan segera membuat pemeriksaan di hospital.

“Pada awalnya, saya rasa tak sedap dan terus saya jumpa doktor. Dalam seminggu, doktor sahkan saya mempunyai ketumbuhan kecil namun Alhamdulillah yang penting adalah jangan takut untuk melakukan pemeriksaan," kongsinya.

"I'm a survivor," kata wanita berusia 93 tahun itu.

Meneruskan kisahnya, Dr Siti Hasmah berkata, ketika keputusan biopsi mengesahkan ketumbuhan di payudara kirinya itu adalah kanser, berita itu bagaimanapun tidak dikongsikannya dengan suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau enggan mengganggu suaminya yang sibuk dengan tugas sebagai Perdana Menteri.

“Doktor lakukan biopsi pada Sabtu, keputusan diperoleh pada Isnin tapi sepanjang tempoh itu saya tidak langsung memberitahu suami kerana tidak mahu mengganggunya, dia sibuk kerja.

“Apabila dia (Dr Mahathir) tahu pada hari keputusan biopsi keluar, dia tak bebel, cuma dia risau sampaikan suruh saya dibedah pada esoknya.

“Saya masuk wad, empat hari selepas itu iaitu pada Jumaat, (dan) Sabtu saya dibedah untuk keluarkan ketumbuhan kecil berkenaan. Pada Ahad, saya keluar wad,” katanya.

Beliau mengakui lega selepas dapat menceritakan kisah itu kepada lebih 200 tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah HKL, Datuk Dr Heric Corray dan Pengerusi Jawatankuasa KL Pink October, Dr Ros Suzanna Ahmad Bustamam.

Justeru, Dr Siti Hasmah meminta setiap wanita perlu menjalani pemeriksaan payudara menerusi prosedur mamogram seperti disaran pakar bagi mengesan jika ada ketulan kanser.

Dr Siti Hasmah berkata, kanser payudara boleh menyerang wanita tanpa mengenal usia termasuk beliau yang kini berusia 93 tahun.

Usah sesekali menganggap orang lain saja yang akan terkena penyakit berkenaan dan tidak akan berlaku kepada diri sendiri, katanya.

“Setiap wanita perlu buang rasa malu untuk menjalani pemeriksaan mamogram kerana sudah ramai pakar wanita melakukan prosedur berkenaan.

Usah bertangguh, rawat segera

“Sebaik dikesan jangan melengahkan masa berbincang, bertindak pantas lakukan pembedahan secepat mungkin. Sokongan keluarga penting bagi membolehkan pesakit kuat menjalani rawatan susulan.

Sementara itu, Dr Corray berkata, seorang daripada 19 wanita di Malaysia berpotensi diserang kanser payudara dan hampir 700,000 wanita berpotensi menghidapnya.

Bagaimanapun, jumlah pakar Onkologi masih kurang berbanding bilangan pesakit, menyebabkan waktu menunggu mendapatkan rawatan mengambil masa lama.

"Negara kita hanya mempunyai 123 pakar Onkologi, 49 orang masih berkhidmat di hospital kerajaan manakala selebihnya di hospital swasta,” katanya.

Dr Corry berkata, HKL mempunyai sembilan pakar berkaitan untuk merawat 3,407 kes baharu dan 21,132 kes susulan kanser tahun lalu.

Beliau berkata, bilangan meningkat dari semasa ke semasa sekiranya tiada kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menjaga kesihatan dengan melakukan pemeriksaan awal bagi mengurangkan kes.

Kesan lewat, sukar rawat

Sementara itu, Dr Ros Suzanna, berkata kempen bermula semalam sehingga Sabtu ini menyasarkan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam di 10 kawasan Parlimen sekitar ibu kota.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, 913 wanita menjalani ujian, 104 masih mendapat pemeriksaan lanjut dengan sebahagian daripada mereka masih dalam temu janji dan 27 rumah pesakit kanser telah dilawati.

"Daripada jumlah itu, kurang 30 peratus wanita diberikan temu janji hadir semula ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Pengangkutan mereka ke HKL disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Beliau berkata, bilangan kes pesakit barah payudara meningkat setiap tahun dan 18 peratus daripada keseluruhan kes adalah payudara.

"Lebih malang, lebih 40 peratus daripada pesakit yang menjalani pemeriksaan disahkan sudah diserang kanser pada tahap tiga dan empat.

“Justeru, kempen ini bukan sahaja memastikan golongan sasar membuat saringan dan pemeriksaan tetapi berkongsi maklumat mengenai penjagaan kesihatan, bantuan dan peranan agensi dalam membantu meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara," katanya.

Berita Harian X