Jumaat, 11 Oktober 2019 | 9:18pm

Turunkan harga kondominium, pangsapuri untuk kurangkan lambakan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada tahun untuk tujuan pemilikan asing.

Ia sebagai langkah mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual.

Sementara itu, bagi membantu pembeli rumah yang tidak mampu membayar deposit 10 peratus dan sukar mendapatkan akses pembiayaan, kerajaan akan mengadakan usaha sama dengan institusi kewangan bagi memperkenalkan Skim Pembiayaan Sewa Untuk Memiliki (Rent To Own)

Menerusi skim ini, pembiayaan sebanyak RM10 bilion akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion.

Skim RTO adalah untuk pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500 ribu, di mana pemohon akan menyewa rumah bagi tempoh sehingga lima tahun dan selepas setahun, diberi pilihan untuk membelinya pada harga yang ditetapkan ketika perjanjian penyewaan ditandatangani.

Kerajaan juga akan memberi pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas instrumen pindah milik di antara pemaju dan institusi kewangan, serta di antara institusi kewangan dan bakal pembeli.

Bagi membantu belia untuk memiliki rumah pertama, kerajaan akan melanjutkan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2021.

Skim ini juga menawarkan jaminan pinjaman sebanyak 10 peratus melalui Cagamas untuk membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh dan bantuan ansuran bulanan sebanyak RM200 sebulan untuk dua dua tahun pertama, terhad kepada 10 ribu unit rumah.

Sebagai maklum balas kepada pandangan rakyat berhubung Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) yang dikenakan ke atas pelupusan harta tanah oleh individu warga negara dan pemastautin tetap selepas tempoh lima tahun, Kerajaan akan menambah baik layanan CKHT.

Ia dengan menetapkan nilai pasaran pada 1 Januari 2013 sebagai harga pemerolehan harta tanah bagi harta tanah yang diperoleh sebelum 1 Januari 2013 berbanding 1 Januari 2000 yang ditetapkan sebelum ini.

Kerajaan turut mengambil berat keadaan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana yang tidak diselenggara dengan baik.

Justeru, kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta untuk membaik pulih perumahan berkenaan.

Kerajaan juga memperuntukkan RM15 juta untuk inisiatif Bandar Selamat dan akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyediakan lampu jalan, kawasan parkir motosikal dengan ciri keselamatan dan pagar anti-panjat serta program keselamatan lain.

Berita Harian X