Sabtu, 5 Oktober 2019 | 11:32am

Rapat jurang ekonomi

KUALA LUMPUR: Meskipun pelbagai inisiatif dasar dan insentif diperkenalkan kerajaan kepada golongan Bumiputera, secara keseluruhan taraf ekonomi kaum itu dilihat masih tidak sejajar dengan pembangunan negara.

Antaranya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1970 sehingga 1990, disusuli Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada 1991 hingga 2000, tidak meninggalkan impak ketara yang diharapkan kepada pertumbuhan ekonomi Bumiputera.

Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai, berkata jurang ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera berlaku akibat acuan dasar ekonomi negara yang hanya mengutamakan pembangunan pesat tanpa fokus kepada kesan agihan kepada masyarakat secara adil dan saksama.

Katanya, sejak merdeka, dasar negara hanya tertumpu kepada kumpulan peniaga dan industri untuk membangunkan ekonomi dan kebanyakan peluang dan insentif disediakan dalam sektor berkenaan.

Barjoyai berkata, majoriti orang Melayu dan Bumiputera, iaitu sekitar 80 peratus yang asalnya petani, kini menjadi kumpulan pekerja, hasil kejayaan dasar yang mengutamakan pendidikan.

“Masalahnya ialah kadar gaji dibayar berasaskan pada produktiviti, namun kita tidak beri tumpuan besar pada kadar produktiviti hingga ia stagnant (tidak berubah) sejak 2010, menyebabkan gaji tidak meningkat sama ada di sektor awam atau swasta.

“Statistik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenai kumpulan pekerja makan gaji, 50 peratus daripada pencarum memiliki gaji kurang RM2,000, sekali gus membayangkan tahap pendapatan orang Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pula, katanya, Bumiputera memiliki jumlah simpanan yang sangat kecil, iaitu secara purata kurang RM1,500.

Barjoyai berkata, orang Melayu juga tidak menumpukan usaha membeli hartanah, berbanding kaum Cina yang berminat mengumpul hartanah hingga lebih 70 peratus hartanah di bandar di miliki kaum itu.

“DEB pula tidak membawa faedah kepada Bumiputera secara menyeluruh,” katanya.

Barjoyai berkata, dasar Wawasan Kemakmuran Bersama perlu mengupayakan, melatih dan memposisikan semula Bumiputera yang berada dalam kumpulan pekerja, selain mewujudkan budaya cintakan perniagaan dalam kalangan Bumiputera.

“Bumiputera perlu dipupuk untuk membudayakan perniagaan sebagai cara hidup, sekurang-kurangnya berniaga dari rumah, menggunakan konsep perniagaan mikro berdaya maju, iaitu melakukan perniagaan yang berpotensi menembusi pasaran global.

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata Bumiputera di Sabah dan Sarawak terpinggir kerana pembangunan lebih tertumpu di kota besar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Katanya, inisiatif seperti DEB pula tidak sampai ke Sabah dan Sarawak, sebaliknya kebanyakan yang memperoleh nikmat pembangunan hanyalah kelas menengah di Semenanjung.

“Memang perlu diwujudkan satu program khas ‘replika DEB’ untuk membantu dan mengembangkan ekonomi serta pendapatan Bumiputera di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Katanya, ekonomi Bumiputera juga ketinggalan berbanding kaum lain kerana literasi ekonomi masih kurang dalam kalangan Bumiputera, manakala sektor pengedaran dan bekalan sumber masih bergantung kepada peraih atau orang tengah.

“Peranan pemimpin politik tempatan pula masih boleh dipertingkatkan dalam usaha membantu dan bersama kerajaan negeri dan Persekutuan membantu meningkatkan pendapatan serta mengembangkan ekonomi setempat,” katanya.

Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai. - Foto Salhani Ibrahim
Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai. - Foto Salhani Ibrahim
Berita Harian X