Jumaat, 4 Oktober 2019 | 6:23pm
KETUA Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek melawat pameran di ruang pameran selepas merasmikan Program Home Ownership Campaign Affordable Homes, di NU Sentral Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin
KETUA Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek melawat pameran di ruang pameran selepas merasmikan Program Home Ownership Campaign Affordable Homes, di NU Sentral Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin

HIDS tangani rumah tidak terjual sedang dibangun - Mohammad Mentek

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang membangunkan Sistem Pangkalan Data Perumahan Bersepadu (HIDS) yang dijangka siap pada 2021.

Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Mohammad Mentek, berkata sistem berkenaan dibangunkan bagi tujuan pengumpulan dan analisis data perumahan secara menyeluruh menerusi pentas analisis data raya.

Katanya, sistem itu membantu pihak pemaju menangani isu ketidakpadanan permintaan dan penawaran pasaran hartanah, sekali gus mengelakkan isu unit rumah tidak terjual.

“Dengan adanya maklumat bersepadu, kementerian dan pemaju boleh merancang kawasan mana yang belum atau sudah memenuhi permintaan pasaran.

“Sistem bernilai RM1 juta yang sedang dibangunkan sejak tiga bulan lalu dengan kerjasama Jabatan Perumahan Negara ini turut membantu pemaju dalam merancang jenis rumah yang sedang dan perlu dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kempen Pemilikan Rumah Mampu Milik (HOC) yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Menerusi ucapan perasmiannya, beliau berkata kementeriannya menyasarkan 60 peratus daripada 10,000 unit rumah bawah harga RM300,000 akan terjual bagi golongan B40 dan M40.

Dalam perkembangan lain, Mohammad berkata secara umumnya setiap negeri memiliki dasar tertentu dalam isu pemilikan rumah tidak terjual menerusi kempen HOC kepada warga asing.

“Tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Johor menetapkan penjualan rumah bernilai lebih RM2 juta kepada warga asing, berbeza negeri-negeri lain yang membenarkan rumah bernilai lebih RM1 juta dijual kepada warga asing.

“Bagaimanapun, penjualan rumah berkenaan hanya dibuka kepada warga asing di bawah program Jawatankuasa Peraku Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), contohnya yang bekerja sebagai perunding, profesional dan sebagainya,” katanya.

Berita Harian X