Jumaat, 4 Oktober 2019 | 3:23pm

Harap PPDUEC tidak lagi tangguh masa serah laporan - Maszlee

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan berharap tiada lagi penangguhan masa oleh Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) dalam melengkapkan laporan akhir kajian pengiktirafan sijil itu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata walaupun tempoh enam bulan diberikan kepada PPDUEC, pihaknya memahami permintaan pasukan itu bagi penambahan tempoh masa.

“Sebelum ini saya berikan mereka tempoh enam bulan, ternyata proses libat urus itu memerlukan lebih banyak lagi masa bagi membolehkan pasukan khas berkenaan dapat bertemu lebih ramai pihak berkepentingan termasuk ahli Parlimen sebelum laporan dilengkapkan.

“Ada logiknya di situ (penambahan tempoh), di pihak kementerian kita masih tunggu pembentangan laporan pihak itu yang dijangka hujung bulan ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Save Leukemia Kids Missions Dana kanak-kanak Tan Chee Kiat dan Tabung Leukemia Malaysia di sini, hari ini.

Terdahulu Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya berharap laporan berkenaan dapat disegerakan bagi membolehkan ia dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat dan tiada lagi penangguhan selepas ini.

Menurut kenyataan itu, pihaknya mengambil maklum bahawa laporan itu dijangka siap menjelang akhir Oktober ini.

Katanya, PPDUEC masih mempunyai baki 20 peratus kerja pelaporan yang perlu disiapkan sebelum melengkapkan laporan dan syor kepada Kementerian Pendidikan.

Tambah kenyataan itu, oleh yang demikian, diharapkan tiada lagi penangguhan selepas ini. Kabinet pada Oktober tahun lalu sudah memberi arahan penubuhan PPDUEC dengan mandat untuk menyiapkan laporannya enam bulan daripada tarikh itu.

Kenyataan itu merujuk kepada wawancara Pengerusi PPDUEC, Eddin Khoo bersama sebuah portal pada Rabu lalu yang memohon untuk menunda tarikh untuk menyerahkan laporan akhir kajian itu yang sepatutnya diserahkan pada Isnin lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika berucap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Save Leukemia Kids Missions Dana kanak-kanak Tan Chee Kiat dan Tabung Leukemia Malaysia di Kementerian Pendidikan. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika berucap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Save Leukemia Kids Missions Dana kanak-kanak Tan Chee Kiat dan Tabung Leukemia Malaysia di Kementerian Pendidikan. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X