Khamis, 3 Oktober 2019 | 4:13pm

Kerajaan bina lebih banyak loji rawatan kumbahan dalam RMK-12

KAJANG: Kerajaan bercadang membangunkan beberapa projek loji rawatan kumbahan berpusat baharu bersaiz mega bernilai kira-kira RM2 bilion di seluruh negara menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) antara 2021 hingga 2025.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata kementeriannya sudah mengenal pasti beberapa lokasi termasuk di Kelantan, Pahang dan Johor, yang sesuai dijadikan tapak projek pembinaan loji rawatan kumbahan berpusat.

Beliau berkata kos pembinaan semua projek berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dan operasinya dijangka diuruskan sepenuhnya oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

“Kita masih belum memuktamadkan kos sebenar bagi pembinaan loji rawatan kumbahan berpusat dan sistem salirannya di setiap negeri berkenaan, namun saya rasa anggarannya ialah kira-kira RM2 bilion.

“Bagaimanapun, loji rawatan kumbahan berpusat terbabit tidak sebesar seperti ini (merujuk Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat yang mampu menampung sehingga 920,000 penduduk setara/PE) kerana penduduk di sana hanya sekitar 250,000 hingga 350,000 PE saja,” katanya ketika ditemui selepas tinjauan hari pertama operasi Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, Dr Xavier berkata beliau gembira kerana Projek Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat yang menelan belanja keseluruhan RM1.5 bilion menerusi RMK-10 dan RMK-11, kini sudah mula beroperasi.

Ia dijangka mampu meningkatkan mutu perkhidmatan pembetungan bagi kawasan tadahan seluas 77 kilometer persegi merangkumi Cheras Jaya, Cheras Batu 11, Kajang 1 dan Kajang 3.

Mengulas lanjut, beliau berkata pembinaan loji yang hanya menggunakan tanah seluas 7.3 hektar itu menggunakan kepakaran Jepun ‘Deep Aeration Method’ yang mampu mengurangkan carbon footprint berganding dengan ‘Step-Feed Multi Stage De-Nitrification.

Beliau berkata penggunaan teknologi baharu itu juga mampu meningkatkan tahap penyingkiran ammonia dan nitrogen sehingga mencecah 80 peratus mengikut Piawaian A Kategori had parameter efluen dalam peraturan Kualiti Alam Sekitar Sekeliling (Kumbahan) 2009 dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Ini bermakna semua air kumbahan dilepaskan ke Sungai Langat dan menyumbang ke arah menjadikannya lebih bersih dan bebas pencemaran, sekali gus mengelak berlakunya masalah gangguan bekalan air kepada penduduk di sekitar kawasan Hulu Langat.

“Apabila siap kelak, projek ini mampu menampung keperluan rawatan kumbahan sehingga mencecah 920,000 PE atau bersamaan dengan 207 juta liter/sehari (MLD) bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang,” katanya yang memaklumkan operasi loji berkenaan akan diserahkan kepada IWK menjelang akhir 2023.

Katanya, kejayaan berkenaan juga membolehkan IWK menutup 232 loji rawatan kumbahan kecil sedia ada di kawasan Cheras-Kajang yang kini sudah uzur dan sering menghadapi pelbagai masalah.

MENTERI Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar ketika membuat tinjauan hari pertama operasi Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat di Kajang, sebentar tadi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MENTERI Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar ketika membuat tinjauan hari pertama operasi Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat di Kajang, sebentar tadi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Berita Harian X