Ahad, 29 September 2019 | 11:59am
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bersama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail menyertai Eco Alami Ride di Dataran Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bersama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail menyertai Eco Alami Ride di Dataran Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

JAKIM heret ke mahkamah pihak letak logo tanpa kebenaran sah

PUTRAJAYA: Tindakan tegas termasuk mengheret ke mahkamah akan dikenakan kepada pihak tidak bertanggungjawab meletakkan tanda logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di beberapa produk yang tidak mendapat pensijilan halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata kesalahan itu adalah di bawah Akta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) 2011 dan pihaknya akan bekerjasama bagi penguatkuasan undang-undang itu.

Katanya, salah satu pendekatan diadakan JAKIM adalah dengan memperkenalkan aplikasi ‘Verify Halal’ menerusi telefon pintar bertujuan memudahkan pengguna menyemak status barangan halal yang dijual di pasar raya.

“Melalui aplikasi itu, pengguna boleh menyemak barangan halal yang disenarai dan pihak tidak bertanggung jawab juga sukar untuk mengelirukan pengguna,” katanya pada sidang media selepas menyertai Eco Alami Ride di Dataran Putrajaya, hari ini.

Yang turut menyertai kayuhan itu terdiri dari Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail.

Seramai 1,000 peserta menyertai kayuhan yang dilepaskan Dr Mujahid dibahagikan kepad tiga kategori terdiri daripada 20 kilometer (km), 10 km dan 5 km.

Semalam, Dr Mujahid berkata, terdapat beberapa gerakan yang ingin menjatuhkan industri halal serta memburukkan reputasi JAKIM yang sengaja ditularkan dengan meletakkan cop halal yang terdapat pada tin makanan berasaskan khinzir.

Menurut beliau, isu berkenaan adalah sudah lama sekitar tahun 2014 dan pihak JAKIM sudah nafikan perkara itu.

Dr Mujahid berkata, pihaknya sangat komited dan mengikut prosedur yang ditetapkan, yang mana produk mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) akan diberi sijil halal.

Katanya, JAKIM tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab melanggar undang-undang menyalahgunakan logo halal dengan mengambil tindakan tegas di mahkamah.

Berita Harian X