Ahad, 29 September 2019 | 8:35am
KETUA Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad. - Foto Luqman Hakim Zubir
KETUA Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad. - Foto Luqman Hakim Zubir

Loji rawatan air Sungai Semenyih kembali beroperasi sepenuhnya

SHAH ALAM: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti tugas berikutan pencemaran bau pada sumber air mentahnya petang semalam, kembali beroperasi sepenuhnya pada jam 6.30 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad, berkata ketika ini proses bagi meningkatkan paras Kolam Imbangan dan penyaluran ke sistem agihan dan kolam perkhidmatan di kawasan terjejas sedang berjalan sebelum bekalan dapat disalurkan untuk proses pemulihan secara berperingkat.

Katanya, sepanjang LRA itu dihenti tugas kira-kira 13 jam 30 minit, berlaku pengurangan pengeluaran harian air terawat sejumlah 357 juta liter.

“Bantuan lori tangki air digerakkan dan 10 Pusat Khidmat Setempat (PKS) akan

diaktifkan bermula jam 8 pagi ini bagi menyalurkan bantuan kepada pelanggan yang terjejas hingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Segala usaha diambil bagi mempercepatkan pemulihan bekalan dan kerjasama pelanggan amatlah dihargai.

“Mohon maaf atas segala kesulitan dan sila rujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com bagi mendapatkan maklumat dan status terkini atau hubungi kami di talian 15300 atau WhatsApp ke talian 019-281 6793 atau 019-280 0919 untuk sebarang bantuan,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Semalam, BH Online melaporkan, kira-kira 372,031 pemegang akaun di 204 kawasan di Selangor terjejas bekalan air apabila operasi LRA Sungai Semenyih terpaksa dihentikan susulan pencemaran bau dikesan di sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Pencemaran berpunca dari Loji Rawatan Kumbahan di Bandar Bukit Mahkota itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di empat daerah iaitu Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Abdul Raof Ahmad dilaporkan berkata, pencemaran bau dengan bacaan lima ton itu adalah kejadian kali keempat pada tahun ini yang menyebabkan loji utama terpaksa dihentikan daripada beroperasi.

Akibat daripada penutupan itu, gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku membabitkan kawasan luas.

Berita Harian X