X
Sabtu, 28 September 2019 | 8:17pm
KUALA LUMPUR 24 JANUARI 2019. Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
KUALA LUMPUR 24 JANUARI 2019. Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

372,031 pemegang akaun terjejas bekalan air

KUALA LUMPUR: Kira-kira 372,031 pemegang akaun di 204 kawasan di Selangor terjejas bekalan air apabila operasi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihentikan susulan pencemaran bau dikesan di sumber air mentah di Sungai Semenyih, hari ini.

Pencemaran berpunca dari Loji Rawatan Kumbahan di Bandar Mahkota itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di empat daerah iaitu Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad, berkata pencemaran bau dengan bacaan lima ton itu adalah kejadian kali keempat pada tahun ini yang menyebabkan loji-loji utama terpaksa dihentikan daripada beroperasi dan mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan kawasan luas.

“Pihak kami sudah beberapa kali membawa isu pencemaran air mentah ini untuk perhatian pihak berkuasa dan kebimbangan kami sekiranya isu pencemaran air mentah ini tidak dibendung akan membabitkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

“Unit Pasukan Pemantau Sungai Air Selangor (PASKAL) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengesan punca pencemaran yang berpunca dari Loji Rawatan Kumbahan di Bandar Bukit Mahkota dan meminta pihak berkenaan mengambil tindakan segera menghentikan pencemaran itu.

“Henti tugas loji berikutan pencemaran kali ini akan menyebabkan sebanyak 204 kawasan membabitkan 372,031 akaun pelanggan berdaftar di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat memberikan tempoh pengoperasian semula loji serta pemulihan bekalan pada masa ini yang bergantung kepada tahap pencemaran.

“Pihak kami akan mengeluarkan hebahan dan makluman serta status terkini dari semasa ke semasa dan mengambil segala tindakan perlu bagi mengurangkan kesan gangguan kepada pelanggan.

“Sila rujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau laman sesawang kami www.airselangor.com untuk maklumat yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Berita Harian X