Sabtu, 28 September 2019 | 12:09pm
PENYELARAS juri PABM, dari Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Dr Mazlena Mohd Hussain.
PENYELARAS juri PABM, dari Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Dr Mazlena Mohd Hussain.

Sembilan peserta akhir PABM 2019 berentap malam ini

TANJUNG MALIM: Sembilan peserta akhir Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Antarabangsa Piala Perdana Menteri (PABM) Ke-13 akan beraksi di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Proton City, di sini, malam ini.

UPSI dipilih sebagai tuan rumah menjayakan penganjuran pertandingan itu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Md Amin Md Taff, berkata peringkat saringan bermula pada 24 hingga 26 September lalu di Dewan Muallim, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

“Alhamdulillah, persiapan membabitkan pelbagai agensi kerajaan berjalan lancar bagi memastikan PABM kali membawa kelainan dan memberi kenangan manis buat peserta yang mengambil bahagian,” katanya.

Beliau berkata, PABM juga turut disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.

Peserta luar negara yang mengambil bahagian ialah Itali, Mesir, Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat, Madagascar, Korea Selatan, Azerbaijan, Rusia, Romania, Jordan, Iraq, Palestin, Mali, India, Jepun, Jerman, Thailand, Kemboja, Uzbekistan, Guinea, Yaman, Albania, Maghribi, Brunei, Singapura, Bangladesh, Pakistan dan China.

Beliau berkata, sepanjang berkampung di UPSI peserta berpeluang mengunjungi Kampung Budaya Melayu Pulau Misa di Bota; Gua Tempurung, Muzium Pendidikan Nasional UPSI selain melakukan aktiviti lasak di UPSI Adventure Park, Kampus Sultan Azlan Shah.

PESERTA PABM ke-13 memakai tanjak di Kampung Budaya Pulau Misa, Bota, Perak.
PESERTA PABM ke-13 memakai tanjak di Kampung Budaya Pulau Misa, Bota, Perak.

Katanya, PABM bertujuan melahirkan pemidato yang berupaya berbicara dalam Bahasa Melayu bagi mengangkat martabat bahasa itu ke persada antarabangsa.

Sementara itu, penyelaras juri dari Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Dr Mazlena Mohd Hussain, berkata pertandingan yang bertujuan untuk memartabatkan Bahasa Melayu di persada dunia itu terbahagi kepada tiga kategori, iaitu antarabangsa dengan 20 peserta, kategori pelajar antarabangsa di Malaysia (PAM) 20 peserta, manakala kategori alam Melayu (10 peserta).

Beliau berkata, panel juri pemilihan untuk peserta ke peringkat akhir mendapati secara keseluruhan mutu pidato peserta pada tahun ini sangat baik dan benar-benar menguji keupayaan peserta berpidato kerana masa untuk berucap untuk setiap pusingan adalah berbeza.

“Mereka hanya berucap selama lima minit untuk pusingan awal, enam minit untuk pusingan suku akhir dan tujuh minit untuk pusingan separuh dan akhir.

“Dalam erti kata lain peserta perlu benar-benar bersedia untuk memastikan mereka boleh berpidato dengan lancar dan yakin dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Peningkatan mutu pidato dalam kalangan peserta ini terbukti apabila pertandingan setiap pusingan adalah sengit, malah perbezaan markah antara seorang peserta dengan peserta yang lain adalah sangat sedikit berikutan persediaan rapi dan berusaha menggunakan Bahasa Melayu yang tepat untuk mengambil hati juri,” katanya.

Beliau berkata, untuk pertandingan akhir, seramai tiga peserta dalam setiap kategori akan berentap untuk merebut gelaran juara.

Johan masing-masing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000.

INFO:

Sembilan peserta yang akan beraksi:

Kategori: Alam Melayu

1. Amirul Iqmal Razlan (Malaysia)

2. Iskandar Zulkarnain (Malaysia)

3. Wansobeereen Waeyusof (Thailand)

Kategori: Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM)

1. Mad Rokiyah, Kemboja (mewakili Universiti Sains Islam Malaysia)

2. Ibrahim Youssef, Mesir (mewakili Universiti kebangsaan Malaysia)

3. Moustapha Koutub, Guinea (mewakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)

Kategori: Antarabangsa

1. Qurbanov Ozad (Uzbekistan)

2. Erii Koyama (Jepun)

3. Wang Jiarui ( China)

Berita Harian X