Sabtu, 28 September 2019 | 10:59am
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof (lima dari kanan) bersama penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin (enam dari kanan) bergambar beramai pada Halal Fun Run 2019 semasa Karvival Rahmah, di Dataran Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof (lima dari kanan) bersama penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin (enam dari kanan) bergambar beramai pada Halal Fun Run 2019 semasa Karvival Rahmah, di Dataran Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

Ada gerakan jejaskan industri halal, burukkan reputasi JAKIM

PUTRAJAYA: Terdapat beberapa gerakan yang ingin menjatuhkan industri halal serta memburukkan reputasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata, perkara berkenaan dapat dilihat apabila isu lama status halal ditularkan kembali di laman sosial.

“Isu lama ini memang sengaja ditularkan, contoh kes cop halal yang terdapat pada tin makanan berasaskan khinzir.

“Itu adalah isu lama sekitar tahun 2014, pihak JAKIM pun sudah nafikan tetapi kini ia ditularkan kembali.

“Selain itu ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab yang menaikkan isu tidak betul dengan mengatakan ada beberapa produk tidak mendapat pensijilan halal. Walhal produk berkenaan ada sijil halal.

“Berkemungkinan pergerakan itu dilakukan oleh orang industri yang bersaing sesama sendiri tetapi menggunakan kami (JAKIM) sebagai alasan,” katanya kepada media selepas menyertai Halal Fun Run yang diadakan di Dataran Putrajaya, Presint 3, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam program berkenaan ialah Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia JAKIM, Datuk Seri Sirajuddin Suhaimee.

Mujahid berkata, pihaknya sangat profesional dan tidak akan campur tangan dengan persaingan tidak sihat itu kerana hanya menumpukan pada usaha untuk mengekalkan piawaian pensijilan halal.

“Kita tidak peduli niat tidak baik yang cuba dimainkan oleh mereka, kami di sini lebih kepada menjaga kualiti produk.

“Kami sangat profesional dan mengikut prosedur yang ditetapkan, yang mana (produk) ikut Prosedur Operasi Standard (SOP) kita akan beri sijil halal,” katanya.

Tambah Mujahid, orang awam yang masih musykil dengan pensijilan halal produk tertentu boleh layari aplikasi telefon pintar ‘Verify Halal’ di mana semua produk yang mendapat status halal akan di muat naik dalam aplikasi terbabit.

Berita Harian X