Jumaat, 27 September 2019 | 3:46pm
PANGLIMA Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (tengah) bergambar bersama Warga Angkatan Tentera Malaysia pada Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke 86 di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia. - Foto BERNAMA
PANGLIMA Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (tengah) bergambar bersama Warga Angkatan Tentera Malaysia pada Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke 86 di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia. - Foto BERNAMA

Perbarisan ATM kembali ke Lumut selepas 22 tahun

LUMUT: Membawa tema sambutan Hari Angkatan Tentera (ATM) ke-86, `Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’, perbarisan pasukan itu diadakan di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini, hari ini.

Seramai 54 pegawai dan 868 anggota lain-lain pangkat membabitkan 12 kontinjen daripada elemen ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara, termasuk tiga kontinjen wanita terbabit dalam perbarisan berkenaan yang diketuai Komander Yusman Darmawan dari TLDM.

Perbarisan itu adalah kali kedua diadakan di Pangkalan TLDM selepas kali pertama diadakan pada 1997.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin memeriksa perbarisan.

Beliau turut menyampaikan Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara, Penyampaian Sijil Kepujian Panglima Angkatan Tentera, Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (Siaga PAT) 2019 serta Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif Horizon Baru Tahun 2018.

Turut disampaikan, piala pusingan kepada johan pertandingan Special Forces Ultimate Challenge 2019 serta pelantikan Sarjan Mejar Rejimen ATM dan Sarjan Mejar Rejimen Istiadat ATM.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Zulkifli berkata, ATM turut menganjurkan Karnival Hari ATM 2019 selama dua hari bermula esok dan ia memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mendekati dan melihat aset tiga perkhidmatan dalam ATM.

“Masyarakat boleh datang bersama keluarga dan tujuannya untuk mereka memahami peranan dan tugas ATM dengan lebih mendalam.

“Selain itu, masyarakat juga berpeluang melihat pertunjukan darat, laut dan udara,” katanya pada sidang media selepas tamat perbarisan berkenaan di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.

Terdahulu, Zulkifli dalam ucapannya berkata, beliau mahu semua anggota ATM sentiasa menjaga nama baik organisasi sebagai institusi yang terhormat terutama dengan ledakan teknologi komunikasi tanpa sempadan, termasuk kemunculan media sosial.

“ATM pada hari ini sentiasa diteliti dari segenap sudut, baik dalam aspek keupayaan angkatan, profesionalisme ketenteraan, ketrampilan malahan sikap anggota turut menjadi perhatian dan bualan masyarakat.

“Saya khuatir sekiranya tidak dikawal ia boleh mengakibatkan kritikan, tohmahan dan fitnah yang akan menggugat keyakinan rakyat dan akhirnya melemahkan ATM,” katanya.

Berita Harian X