Rabu, 25 September 2019 | 2:21pm
Tokoh Wartawan Negara 2018 Tan Sri Johan Jaaffar (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya pada Forum Media Kebangsaan “Industri 4.0 Kewartawanan Merentasi Pelbagai Platform” hari ini. Turut kelihatan Ketua Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Taylor's, Dr Latiffah Pawanteh (kiri). - Foto BERNAMA
Tokoh Wartawan Negara 2018 Tan Sri Johan Jaaffar (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya pada Forum Media Kebangsaan “Industri 4.0 Kewartawanan Merentasi Pelbagai Platform” hari ini. Turut kelihatan Ketua Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Taylor's, Dr Latiffah Pawanteh (kiri). - Foto BERNAMA

Struktur semula pengajian media - Johan Jaaffar

SUBANG JAYA: Pengajian media dan komunikasi di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu distruktur semula untuk memastikan graduan dilahirkan menepati keperluan industri media semasa.

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar, berkata pelajar bidang itu perlu tahu mengenai realiti baharu perniagaan dan operasi media termasuk keseluruhan disiplin pengumpulan, pemprosesan dan penyebaran berita.

Sehubungan itu katanya, IPT mencakupi universiti awam (UA) perlu memastikan kurikulum yang diajar menepati kehendak industri dan tidak ketinggalan zaman kerana media masa kini amat berbeza dengan 10 tahun lalu.

“Kurikulum terdahulu sudah tidak relevan dan ia tidak relevan secara keseluruhannya dengan keadaan media ketika ini. Oleh itu, perlu diubah dan dikaji semula.

“Saya percaya pengajian media masih relevan, namun perlu disesuaikan dengan perkembangan semasa. Kita perlu menambah baik keseluruhan bidang pengajian ini,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Media Kebangsaan Industri 4.0: Kewartawanan Merentasi Pelbagai Platform, di sini, hari ini.

Forum sehari itu anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) bersama Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Taylor’s.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya dan Ketua Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Taylor’s, Dr Latiffah Pawanteh.

Mengenai industri media, Johan yang juga bekas Pengerusi Media Prima Bhd berkata, syarikat media perlu melihat ke dalam diri untuk membuat penilaian bagi menentukan pendekatan baharu menghadapi cabaran semasa.

Katanya, cabaran itu bagi pandangan beliau bukan sahaja persaingan dengan media sosial atau sesama sendiri untuk menyampaikan berita, malah pengaruh pengiklanan.

Beliau berkata, sebahagian besar daripada peluang media konvensional untuk mendapat peluang dari segi iklan diambil alih oleh gergasi media sosial seperti Google dan Facebook.

“Ini dengan sendirinya jumlah pendapatan berpindah ke syarikat gergasi berkenaan.

“Syarikat media perlu menyusun semula strategi untuk masa depan kerana model perniagaan yang ada tidak boleh digunapakai lagi sebab tidak praktikal,” katanya.

Berita Harian X