Sabtu, 21 September 2019 | 3:33pm

Penduduk teruja program Media Prima Medical Outreach di Sauk

KUALA KANGSAR: Lebih 350 penduduk di dua mukim di sini mendapat manfaat daripada program Media Prima Medical Outreach yang diadakan di Dataran Amanjaya, Sauk, di sini, hari ini.

Mereka yang datang seawal jam 8.30 pagi mengambil kesempatan menjalani pemeriksaan kesihatan berkaitan jantung secara percuma oleh kakitangan Institut Jantung negara (IJN) pada program berkenaan.

Penghulu Mukim Chegar Galah, Mohamad Alias Zainal Akhir, berkata sambutan penduduk setempat terhadap program itu yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh itu, amat memberangsangkan berbanding sasaran asal sekitar 250 orang saja.

Katanya, program julung kali diadakan itu memberi peluang penduduk mukim Chegar Galah dan Kota Lama Kiri serta kawasan sekitarnya mengetahui tahap kesihatan jantung dan penyakit berkaitan termasuk darah tinggi serta kencing manis, memandangkan kebanyakannya bekerja kampung dan kurang berkemampuan.

“Kebiasaannya ramai akan utamakan keperluan hidup terlebih dulu berbanding sanggup mengeluarkan wang bagi mengetahui tahap kesihatan sendiri, sebab itu program ini dinantikan dan berharap dianjurkan lagi pada masa depan,” katanya ketika ditemui pada program itu.

ORANG ramai berpeluang memeriksa tahap kesihatan secara percuma menerusi program kempen kesedaran kesihatan bersama Briged Sukarelawan Media Prima-New Straits Times Press (NSTP) (Briged Sukarelwan) dan Institut Jantung Negara (IJN), di Dataran Amanjaya, Sauk, Kuala Kangsar. - Foto Muhaizan Yahya

Penduduk, Baridah Dahari, 60, berkata program sebegitu wajar diteruskan bagi memberi peluang golongan kurang berkemampuan sepertinya menjalani pemeriksaan kesihatan jantung.

“Jika diikutkan kos pemeriksaan dijalankan hari ini mencecah ratusan ringgit seorang jika dilakukan di hospital, namun syukur tiada sebarang bayaran dikenakan untuk menjalani pemeriksaan pada program ini.

“Pengisian program juga bersifat santai kerana bukan hanya membabitkan golongan dewasa dan berumur, malah turut diserikan dengan pelbagai pameran, pertandingan serta permainan untuk kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Tanggungjawab Sosial Korporat, Derma dan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Muhammad Nazim Ismail, berkata Sauk menjadi lokasi pertama penganjuran program dua hari yang dibuat secara konvoi itu sebelum diteruskan ke Dewan Tun Abdul Razak, Baling, Kedah untuk program sama esok.

Katanya, menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran bersama IJN dengan Briged Sukarelawan Media Prima-New Straits Times Press (NSTP) (Briged Sukarelawan) serta Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (ADABI) itu, Sauk dipilih kerana faktor geografinya agak jauh dari bandar utama, selain taburan masyarakatnya berbilang kaum serta majoriti berpendapatan rendah.

PEGAWAI Daerah Kuala Kangsar, Ahmad Munir Ishak (duduk) berpeluang memeriksa tahap kesihatan pada program kempen kesedaran kesihatan bersama Briged Sukarelawan Media Prima-New Straits Times Press (NSTP) (Briged Sukarelwan) dan Institut Jantung Negara (IJN) di Dataran Amanjaya, Sauk, Kuala Kangsar. Turut kelihatan Pengurus Kanan Komunikasi Korporat IJN, Aina Jamil (empat dari kiri). - Foto Muhaizan Yahya

“Selain pemeriksaan kesihatan percuma, IJN turut mengeluarkan surat susulan untuk merujuk kes mereka yang menjalani pemeriksaan kesihatan dalam program ini ke klinik berdekatan jika perlu,” katanya.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat IJN, Aina Jamil pula berkata, sebanyak 10 kaunter dibuka iaitu lapan kaunter pemeriksaan untuk dewasa, dua kaunter kanak-kanak serta satu kaunter berhenti merokok membabitkan kira-kira 65 sukarelawan dalam program itu.

Katanya, program kolaborasi antara IJN bersama MPB sudah memasuki tahun keenam sejak diadakan pada 2013 membabitkan program berkaitan kesedaran kesihatan membabitkan lapan lokasi sebelum ini.

“Ia inisiatif bagi memberi kesedaran risiko penyakit jantung, selain mendidik melalui pembelajaran mengenai gaya hidup dan pemakanan sihat serta cara mengetahui risiko mungkin mendapat penyakit jantung.

“Pemeriksaan percuma diberi bagi mengetahui paras gula, tekanan darah, kandungan kolesterol dan ujian elektrokardiogram (ECG), selain ujian lain jika diperlukan,” katanya.

Selain pemeriksaan kesihatan, turut diadakan aktiviti lain termasuk demonstrasi pertandingan memasak menu sihat, pameran kesihatan, pertandingan baju berhias bertemakan Jalur Gemilang serta pertandingan interaktif khusus untuk kanak-kanak.

ORANG ramai berpeluang memeriksa tahap kesihatan secara percuma menerusi program kempen kesedaran kesihatan bersama Briged Sukarelawan Media Prima-New Straits Times Press (NSTP) (Briged Sukarelwan) dan Institut Jantung Negara (IJN), di Dataran Amanjaya, Sauk, Kuala Kangsar. - Foto Muhaizan Yahya
ORANG ramai berpeluang memeriksa tahap kesihatan secara percuma menerusi program kempen kesedaran kesihatan bersama Briged Sukarelawan Media Prima-New Straits Times Press (NSTP) (Briged Sukarelwan) dan Institut Jantung Negara (IJN), di Dataran Amanjaya, Sauk, Kuala Kangsar. - Foto Muhaizan Yahya
Berita Harian X