Rabu, 4 September 2019 | 9:57am
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika ditemui pemberita selepas meninjau hari pertama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (1), pagi ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika ditemui pemberita selepas meninjau hari pertama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (1), pagi ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Sasterawan Negara dipilih berdasarkan merit - Maszlee

PUTRAJAYA: Pemilihan penerima Anugerah Sastera Negara Ke-14 adalah berdasarkan merit dan diiktiraf oleh penggiat sastera, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Katanya, budayawan dan penyair, Prof Dr Siti Zainon Ismail, dipilih menerima anugerah itu yang membawa gelaran Sasterawan Negara kerana beliau bukan saja diiktiraf pada peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa.

Namun, beliau berkata, adalah perkara biasa sekiranya ada pihak tidak berpuas hati terhadap keputusan itu.

“Perkara ini biasa kerana kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Oleh sebab yang memenangi anugerah ini cuma seorang, jadi apabila seorang lagi tidak dapat, sudah tentu akan timbul ketidakpuasan hati.

“Bagaimanapun, kita berbangga kerana memiliki bukan sekadar sasterawan tetapi juga budayawan dan pelukis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau hari pertama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (1), di sini, pagi ini.

Maszlee mengulas kenyataan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2013, Mohd Ghazali Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Malim Ghozali PK yang mempertikaikan pemilihan itu, semalam.

Malim Ghozali mendakwa ‘menghidu’ penyelewengan membabitkan keputusan panel hakim memilih Sasterawan Negara sejak Mac lalu.

Berita Harian X