Selasa, 3 September 2019 | 3:25pm
ABDUL Hamid pada majlis pelepasan Operasi Bersepadu Khazanah di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am, Bidor hari ini. - Foto BERNAMA
ABDUL Hamid pada majlis pelepasan Operasi Bersepadu Khazanah di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am, Bidor hari ini. - Foto BERNAMA
ABDUL Hamid memeriksa perbarisan kawalan kehormat ketika hadir bagi merasmikan Pelancaran Operasi Bersepadu Khazanah di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am, Bidor, hari ini. - Foto BERNAMA
ABDUL Hamid memeriksa perbarisan kawalan kehormat ketika hadir bagi merasmikan Pelancaran Operasi Bersepadu Khazanah di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am, Bidor, hari ini. - Foto BERNAMA

Hukuman sebat untuk pemburu haram

BIDOR: Polis mencadangkan hukuman lebih berat termasuk sebat mandatori dikenakan terhadap penjenayah yang terbabit dalam kegiatan pemburuan haram dan menyeludup haiwan liar.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata cadangan itu yang akan dibawa kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang adalah inisiatif PDRM membanteras pemburuan haram dan penyeludupan haiwan liar di negara ini.

"Polis turut menggerakkan beberapa elemen di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) termasuk cawangan udara dan polis marin menerusi Op Bersepadu Khazanah bagi membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) membanteras jenayah hidupan liar di hutan, udara dan laut.

"Operasi yang sebelum ini diselaraskan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) turut dimantapkan dengan membabitkan kepakaran daripada Pasukan Elit Senoi Praaq dari Batalion 3 dan Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah KDNKA terdiri daripada Orang Asli yang mahir dan berkeupayaan menjejak musuh dalam hutan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Op Bersepadu Khazanah di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di sini, hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, dalam Operasi Bersepadu Khazanah pihak berkuasa juga akan menguatkuasakan lebih daripada 12 peruntukan undang-undang sedia ada membabitkan kesalahan berhubung hasil hutan dan hidupan liar.

“Kita sudah kenal pasti 19 lokasi ‘hot spot’ membabitkan laluan penyeludupan hasil hutan dan haiwan terkawal di seluruh Malaysia antaranya Padang Besar, Perlis; Bukit Kayu Hitam, Kedah; Pengkalan Hulu, Perak; Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hamid berkata, polis juga akan memperketatkan pengeluaran lesen senjata api bagi membendung kegiatan pemburuan haram yang dilaporkan semakin kritikal.

Ketika ini, katanya, lebih 30,000 lesen senjata api iaitu senapang patah sudah dikeluarkan dengan 7,400 daripadanya diberikan permit memburu.

“Lesen senjata api diberikan bukan untuk bebas melakukan aktiviti pemburuan tetapi ada syarat-syaratnya lagi termasuk permit PERHILITAN. Ia bukan lesen untuk mereka (pemegang lesen) masuk ke hutan menembak apa sahaja hidupan di dalam hutan.

“Saya akan pastikan syarat ini (lesen senjata api) diperketatkan selain menyemak semula pemegang lesen yang sudah tidak relevan lagi contohnya jika dulu ada tanah untuk dilindungi daripada haiwan pemusnah tanaman dan kini tiada, maka senjata api ini akan dibatalkan dan senjata itu ditarik balik,” katanya.

Berita Harian X