Ahad, 1 September 2019 | 10:38am
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berucap pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 peringkat Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh, hari ini. - Foto Abdullah Yusof
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berucap pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 peringkat Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

Jangan nyalakan api perkauman - Sultan Perak

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mahu semua pihak menghentikan perbuatan menyalakan api perkauman dan meniup bara permusuhan antara agama.

Titah baginda, perbuatan itu wajib dihentikan segera dan undang-undang wajib didaulatkan supaya keselamatan nyawa, keselamatan harta benda warga tidak berdosa dilindungi.

“Apakah kemenangan yang mahu diperoleh oleh sebahagian mereka yang bergelar pemimpin, bersaing mempamerkan ego masing-masing sehingga sanggup meletakkan nilai diri sebegini rendah, dalam hasrat mencari pengaruh dan mendapatkan sokongan politik.

“Apakah kepuasan yang bakal dihirup, sekiranya darah warga membasahi bumi, mayat bergelimpangan, bangunan terbakar dan kenderaan hangus, suhu panas ini wajib segera diturunkan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 peringkat Perak di Pusat Konvensyen Casuarina di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Sultan Naztin bertitah, selepas 62 tahun negara mencapai kemerdekaan, suara menyemai kebencian antara kaum dan agama semakin lantang diucapkan kebelakangan ini.

Titah baginda, suhu politik dalam negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hari semakin dipanaskan oleh pemimpin politik daripada kedua-dua pihak, baik yang menang mahu pun yang tewas.

“Sifat kaduk menaiki junjung dan sifat memilih lebih mahu berputih tulang setelah berputih mata oleh sebahagian pemimpin politik, meningkatkan suhu permusuhan dalam kalangan warga.

“Perbuatan ‘mengata dulang paku serpih’ melalui persaingan melukis wajah lebih hodoh lawan politik, semakin menambahkan mendung di langit negara.

“Pelbagai provokasi secara keterlaluan dilapor dilakukan, antaranya meletak patung dan melemparkan daging khinzir di dalam masjid, meletak kepala lembu di kuil Hindu, menyebarkan pelbagai bahan dakyah, fitnah dan penghinaan melalui media sosial, termasuk penghinaan terhadap agama Islam dan Rasulullah SAW,” titah baginda.

Baginda bertitah, sebahagian besar daripada perbuatan itu dilaporkan dilakukan kerana upah dan bara perkauman disemarakkan, api permusuhan antara agama semakin dinyalakan.

Titah baginda, setiap ungkapan dan perbuatan sedemikian adalah pemasangan bom jangka yang menantikan masa untuk meletup.

“Kebenaran fakta dan kesahihan berita tidak lagi dipentingkan, sebaliknya emosi semakin mempengaruhi diri, termasuk dalam kalangan terpelajar.

“Minda warga semakin diracuni hinggakan warga menjadi terlalu taksub, semakin berminda tertutup.

“Insiden seperti jenayah di jalan raya kepada tindakan disiplin guru di sekolah, atau majikan di pejabat, warna baju dipakai pemimpin, kesilapan mengibarkan bendera, perubahan kurikulum pengajian, dilihat dan ditafsirkan secara negatif menurut dimensi kaum dan agama,” titah baginda.

Titah baginda, keadaan itu meletakkan negara dalam zon bahaya yang mencemaskan.

Baginda bertitah, majoriti warga di negara ini cintakan keamanan dan mereka semakin resah kerana menyedari serpihan letupan ‘bom jangka’ tidak mengenal mangsa, kesan perbuatan golongan berfikiran singkat.

Berita Harian X