X
Sabtu, 31 Ogos 2019 | 4:42pm
Muhammad Bakhtiar (duduk, tiga dari kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim (duduk, empat dari kiri) bergambar bersama pelajar dengan memakai tengkolok pada Majlis Penutup Program Bermalam di Muzium 2019 di Jabatan Muzium Malaysia. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Muhammad Bakhtiar (duduk, tiga dari kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim (duduk, empat dari kiri) bergambar bersama pelajar dengan memakai tengkolok pada Majlis Penutup Program Bermalam di Muzium 2019 di Jabatan Muzium Malaysia. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

MOTAC rangka Akta Muzium

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedang merangka akta baharu dikenali sebagai Akta Muzium bagi mengawal selia aktiviti bekaitan muzium di negara ini.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata akta itu kini sedang didraf dan dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Sebelum ini kita tidak mempunyai akta berkaitan muzium dan hanya bergantung kepada Akta Warisan 2005, jadi akta baharu ini diperlukan untuk mewujudkan lebih banyak undang-undang berkaitan muzium.

“Ia termasuk dari segi penguatkuasaan, pemantauan dan penyelarasan kerana jika kita lihat sekarang, ramai pihak menggunakan nama muzium seperti muzium hantu, sedangkan sebenarnya ia tidak boleh sewenang-wenangnya meletakkan nama muzium seperti itu, ” katanya pada sidang media selepas merasmikan acara penutup ‘Program Bermalam di Muzium 2019’, di sini.

Program itu yang dianjurkan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan disertai 37 muzium lain di seluruh negara mendapat pengiktirafan ‘Malaysia Book of Records’ bagi pemakaian tengkolok paling banyak dalam kalangan peserta iaitu seramai 3,209 orang.

Pada masa sama, Muhammad Bakhtiar berkata, melalui akta baharu itu juga, ia akan mewajibkan setiap muzium mendaftar semua koleksi negara bagi tujuan rujukan dan penetap standard dalam setiap pameran yang dijalankan institusi itu.

Sementara itu, beliau berkata, MOTAC sedang berusaha mempromosikan lokasi pelancongan berkaitan sejarah dan budaya di negara ini termasuk Lembah Bujang di Kedah dan Lenggong di Perak berikutan sektor itu berpotensi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia.

Katanya, ini kerana berdasarkan maklumat diperoleh melalui portal ‘trip advisor’, 47 peratus pelancong luar yang berkunjung ke Malaysia kerana ingin melihat kebudayaan negara ini termasuk sejarah tempatan.

“Malaysia memiliki banyak tempat sejarah termasuk yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) seperti Lenggong yang dijadikan Tapak Warisan Dunia dan Lembah Bujang.

“Justeru, kita meminta Jabatan Warisan Negara dan Tourism Malaysia mempakejkan lokasi ini sebagai tempat tumpuan yang harus dilawati pelancong kerana mereka khususnya kelas atasan kebiasaannya memang meminati aspek sejarah dan budaya, ” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berusaha menarik kunjungan pelancong dalam aspek sejarah melalui penganjuran seminar antarabangsa bagi membincangkan lokasi bersejarah di Malaysia dengan pembabitan ahli akademik dari negara luar.

“Kita juga mencadangkan kepada pihak muzium membuat permohonan kepada negara luar yang menyimpan artifak berkaitan sejarah negara untuk kita dapatkan kembali kerana banyak ada di negara luar, ” katanya.

Berita Harian X