Rabu, 28 Ogos 2019 | 7:59pm
Lam Thye (enam dari kiri) bersama Siti Sakinah (lima dari kiri) pada majlis pelancaran Kempen Bantuan Musim Sejuk 7.0 (BMS 7.0), di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Saddam Yusoff
Lam Thye (enam dari kiri) bersama Siti Sakinah (lima dari kiri) pada majlis pelancaran Kempen Bantuan Musim Sejuk 7.0 (BMS 7.0), di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Saddam Yusoff

Syria Care tetap teruskan misi walaupun 20 NGO tarik diri

SHAH ALAM: Pertubuhan Syria Care dari Malaysia tetap meneruskan misi kemanusiaannya di Syria walaupun selepas 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai negara menarik diri susulan serangan bom di negara bergolak itu.

Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, berkata bagi memastikan misi itu berjalan lancar, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa NGO tempatan di negara berkenaan.

“Kita akan meneruskan bantuan selagi boleh berbuat sedemikian. Jika berlaku sebarang situasi kecemasan atau serangan, kita akan berpindah ke kawasan lain.

“Apa yang berlaku di sana tidak sesekali melemahkan semangat kita. Kita sedang mengatur beberapa pelan tindakan bagi memastikan misi ini berjaya,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Kempen Bantuan Musim Sejuk 7.0 (BMS 7.0), di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Siti Sakinah berkata, antara NGO dari Syria yang membantu Syria Care adalah Emaar Al Sham (Timur Ghoutah); Ulfah Human Relief (Selatan Damsyik); Al Ahbab Human Institution (Idlib); Sham Serif Dernegi (Homs); Resalet Al Sham (Timur Ghoutah); Khair Gota (Barat Idlib) dan Tawasso Charity Organization (Latakia).

Beliau ketika mengulas lanjut, berkata Kempen BMS 7.0 sudah memasuki tahun ke tujuh dan pihaknya mensasarkan kutipan RM2.53 juta yang mampu memberi manfaat kepada 55,000 pelarian Syria pada musim sejuk yang akan bermula November ini.

“Sebagai permulaan, Syria Care sudah membuat persiapan untuk menghantar tiga kontena yang membawa 13,000 selimut; 5,000 jaket berkualiti tinggi; 5,000 topi dan 5,000 kasut but.

“Kontena berkenaan akan berlepas dari Pelabuhan Klang pada 8 September ini bagi membolehkan barang-barang berkenaan diagihkan sebelum musim sejuk yang akan berterusan sehingga empat bulan itu tiba,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha untuk membina 100 khemah untuk pelarian dan dianggarkan seramai 100,000 pelarian baharu tiba di Idlib.

Sementara itu, Lam Thye menggesa rakyat Malaysia untuk melakukan apa yang perlu untuk membantu mangsa peperangan di Syria terutamanya kanak-kanak.

“Saya berharap lebih ramai pihak yang akan mengambil inisiatif intuk membantu mereka yang memerlukan termasuk di kawasan peperangan.

“Mereka terpaksa berdepan pelbagai cabaran setiap hari, termasuk ketiadaan makanan serta kekurangan pelbagai keperluan asas seperti pakaian dan tempat tinggal, terutama menjelang ketibaan musim sejuk tidak lama lagi,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun RHB 2622 5000 0217 75, CIMB 8601 8945 60 dan Maybank 5621 0665 3575 atas nama Syria Care.

Berita Harian X