Sabtu, 24 Ogos 2019 | 4:16pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memegang replika cek dana sebanyak RM683,649 pada Kejohanan Golf Amal Yayasan IJN 2019 yang memasuki tahun ke-10 di Kota Permai Golf & Country Club, di Kota Kemuning. Turut bersama, Pengerusi Yayasan IJN, Datuk Seri Dr Aishah Ong (kanan), Pengerusi Kutipan Dana Yayasan IJN, Datin Julini Mohd Ali (dua kanan) dan Pengerusi Penganjur Kejohanan Golf Amal Yayasan IJN 2019, Datuk Zainal Abidin Putih (kiri). - Foto Sairien Nafis

Kejohanan Golf Amal Yayasan IJN pungut hampir RM700,000

SHAH ALAM: Kejohanan Golf Amal Yayasan IJN 2019 yang memasuki tahun ke-10, hari ini, berjaya mengumpul dana sebanyak RM683,649 bagi disumbangkan untuk membiayai kos rawatan dan pembedahan pesakit jantung daripada golongan kurang berkemampuan di Institut Jantung Negara (IJN).

Penaung kejohanan itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan menyampaikan cek sumbangan kepada Pengerusi Yayasan IJN, Toh Puan Dr Aishah Ong dalam majlis penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan golf yang diadakan di Kota Permai Golf & Country Club, di Kota Kemuning, di sini, hari ini.

Turut hadir pada pertandingan yang disertai pasukan amatur itu, Pengerusi penganjuran kejohanan, Datuk Zainal Abidin Putih.

Sementara itu, Zainal berkata, tanpa sumbangan kewangan, pesakit jantung kritikal yang kurang berkemampuan berkemungkinan berdepan kematian daripada penyakit yang dihadapi.

Katanya, yayasan itu membayar kira-kira RM4.5 juta setahun bagi menyokong Program Pesakit Memerlukan bagi menyelamatkan nyawa mereka.

“Sebagai contoh, seorang penerima mungkin seorang pemandu lori berusia 50-an, yang menderita sakit jantung.

“Dia tidak mempunyai wang mencukupi untuk mendapatkan rawatan, mempunyai majikan yang tidak mahu atau tidak mampu membayar rawatannya.

“Jika dia meninggal dunia, empat atau lima orang anak serta isterinya yang ditinggalkan akan berdepan kesukaran, kewangan dan secara fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan dan penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan, di sini, hari ini.

Zainal berkata, kejohanan itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang berkemampuan membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama.

Namun, katanya, apa yang dibimbangkan adakah nyawa seorang rakyat Malaysia boleh diselamatkan.

“Inilah semangat Merdeka, yang akan kita sambut dalam tempoh seminggu ini,” katanya.

Difahamkan, pada 2018, yayasan itu membantu membiayai kos rawatan dan pembedahan seramai 267 pesakit iaitu seramai 109 pesakit dewasa manakala 158 lagi adalah pesakit kanak-kanak.

Berita Harian X