Jumaat, 23 Ogos 2019 | 3:02pm
MENTERI Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Kempen Kerjasama Pemasaran Digital Bersama antara Tourism Malaysia dan Expedia. - Foto BERNAMA
MENTERI Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Kempen Kerjasama Pemasaran Digital Bersama antara Tourism Malaysia dan Expedia. - Foto BERNAMA

Kehadiran pelancong asing meningkat

PUTRAJAYA: Kehadiran pelancong luar negara merekodkan pertumbuhan 4.9 peratus bagi separuh pertama tahun ini kepada 13.35 juta pelancong berbanding 12.73 juta pada 2018.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata kehadiran pelancong luar negara itu juga memberi pulangan RM41.69 bilion iaitu meningkat 6.8 peratus berbanding RM39 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, purata perbelanjaan perkapita juga meningkat 1.9 peratus kepada RM3,121.6 pada separuh pertama tahun ini berbanding RM3,0464.7 pada 2018.

“Selain itu kedatangan pelancong pasaran jarak dekat tertinggi membabitkan dari Singapura, Indonesia,Thailand dan Brunei, manakala pasaran sederhana pula dari China, India dan Korea Selatan mengikut purata tempoh malam.

“Singapura menjadi penyumbang perbelanjaan pelancong tertinggi mengikut tiga negara teratas sebanyak RM11.56 bilion diikuti China (RM7.09 bilion) dan RM5.71 bilion dari Indonesia,” katanya pada sidang media pengumuman Prestasi Pelancongan Separuh Tahun Pertama 2019 di kementeriannya, hari ini.

Beliau berkata, perbelanjaan perkapita tertinggi bagi lima negara teratas disumbangkan pasaran jarak jauh dan sederhana membabitkan dari Arab Saudi, United Kingdom, Kanada, Amerika Syarikat dan China.

“Arab Saudi menjadi penyumbang perkapita tertinggi mengikut pasaran jarak jauh iaitu RM11,376.9, manakala pasaran jarak sederhana dari China sebanyak RM4,546.0 dan jarak dekat Vietnam berjumlah RM3,03.2.

“Selain itu purata tempoh tinggal pelancong asing disumbangkan pelancong pasaran jarak jauh dari Arab Saudi, Perancis, Jerman, Belanda dan Kanada,” katanya.

Mohamaddin berkata, penyumbang kepada 10 ketibaan pelancong tertinggi membabitkan pasaran jarak dekat negara ASEAN dan jarak jauh sederhana negara Asia Utara dan Asia Selatan.

Katanya, negara penyumbang 10 ketibaan tertinggi bagi pasaran jarak dekat dari Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Filipina dan Vietnam, manakala jarak sederhana dari China, Jepun dan Korea.

“Singapura, Indonesia dan China masih mengekalkan kedudukan tiga negara utama ketibaan pelancong ke negara ini.

“Prestasi ketibaan pelancong menunjukkan peningkatan positif secara bulanan yang dipengaruhi faktor cuti Tahun Baharu Cina pada Februari, cuti sekolah bagi Malaysia dan Singapura pada Mac, cuti Aidilfitri dan permulaan cuti musim panas pada Mei,” katanya.

Sementara itu, Mohamaddin berkata, beliau bersedia ditukarkan portfolio jika diarahkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana setiap menteri tertakluk kepada sebarang kemungkinan.

“Sebagai menteri, kita juga tidak boleh mengatakan kementerian itu milik kita dan pada bila-bila masa boleh dikeluarkan termasuk diganti dengan orang lain,” katanya.

Mengulas kenyataan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mencadangkan beliau seorang daripada empat menteri digugurkan jika Perdana Menteri berhasrat merombak Kabinet, Mohammadin berkata, sebarang keputusan terletak di tangan Perdana Menteri.

Berita Harian X