Rabu, 21 Ogos 2019 | 5:40pm
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan. - NSTP/Adzlan Sidek
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan. - NSTP/Adzlan Sidek

Pencemaran udara di Negeri Sembilan serius tetapi terkawal

SEREMBAN: Kebakaran hutan di Sumatera yang dipercayai membawa jerebu ke Semenanjung menjadi antara punca utama kadar pencemaran udara di Negeri Sembilan berada pada tahap serius.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata setakat ini keadaan masih lagi terkawal hasil pemantauan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya, keputusan itu diperoleh selepas Sesi Libat Urus Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Bersama Kerajaan Negeri Sembilan Bagi Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 yang diadakan di sini, semalam.

“Keadaan ini disedari sejak tahun lalu lagi dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan punca utama adalah daripada pembakaran terbuka di Indonesia.

“Justeru JAS negeri sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan perindustrian di negeri ini bagi memastikan pencemaran sentiasa terkawal, sekali gus dapat mengurangkan impak pada alam sekitar,” katanya pada sidang media di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Veerapan berkata, ketika ini kerajaan negeri dalam proses menubuhkan jawatankuasa untuk memastikan pencemaran sungai terkawal.

“Jika pencemaran alam sekitar, kita ada JAS untuk buat pemantauan tetapi untuk fokus kepada pencemaran sungai, jawatankuasa ini yang akan buat pemantauan,” katanya.

Terdahulu, JAS bersama Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Majlis Perbandaran Seremban (MPS) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengadakan Operasi Bersepadu di tiga kilang di Jalan Pantai-Jelebu.

Mengulas mengenai Operasi Bersepadu yang diadakan bermula jam 11 pagi sehingga 1 tengah hari itu, Veerapan berkata, JAS menerima aduan daripada penduduk setempat berkenaan pencemaran udara di kawasan itu sejak dua minggu lalu.

Katanya, hasil risikan yang dibuat sejak beberapa hari lalu mendapati tiga kilang di kawasan itu iaitu kilang peleburan timah, kilang kitar semula plastik dan kilang membuat jubin menjadi antara punca utama pencemaran itu.

“Siasatan mendapati kilang peleburan timah dan kilang kitar semula plastik beroperasi secara haram dipercayai sejak enam bulan lalu, dan mulai hari ini ditahan operasi mengikut Seksyen 38 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kilang membuat jubin pula didapati melakukan proses menyembur diesel tanpa alat kawalan udara yang mencukupi bagi mengawal pencemaran udara yang dihasilkan.

“Oleh itu, pengusaha kilang itu diberikan notis mengikut Seksyen 31 dan 37 Akta sama supaya memasang alat kawalan pencemaran udara yang secukupnya dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Veerapan berkata, kertas siasatan turut dibuka terhadap pemilik tanah kilang yang beroperasi secara haram mengikut Seksyen 34A akta sama iaitu menjalankan aktiviti premis tanpa mendapat kelulusan laporan mengenai kesan kepada alam sekeliling (EIA) daripada JAS.

Katanya, jika sabit kesalahan, pemilik premis itu boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Berita Harian X