X
Jumaat, 16 Ogos 2019 | 3:41pm
DR Maszlee Malik mengadakan pertemuan dengan kelompok mahasiswa yang dilantik menganggotai Senat di universiti masing-masing, hari ini.
DR Maszlee Malik mengadakan pertemuan dengan kelompok mahasiswa yang dilantik menganggotai Senat di universiti masing-masing, hari ini.

Lantik sebagai anggota Senat, kukuh peranan mahasiswa - Kementerian Pendidikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengambil langkah melantik wakil mahasiswa sebagai anggota Senat di Universiti Awam (UA) masing-masing dengan matlamat inisiatif itu berupaya mengangkat dan mengukuhkan peranan golongan berkenaan di negara ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, menurut Kementerian Pendidikan, langkah diambil kementerian menjadikan UA di Malaysia menjadi universiti pertama di Asia Tenggara melantik wakil mahasiswa bagi mengisi jawatan terbabit.

“Kementerian Pendidikan sedang menggerakkan pelbagai inisiatif penting untuk mengukuhkan peranan golongan mahasiswa di negara ini. Antara langkah utama yang sedang diambil ialah melantik wakil mahasiswa untuk menjadi anggota Senat di UA seluruh negara.

“Kementerian Pendidikan amat berbangga dengan usaha ini kerana UA di Malaysia menjadi universiti pertama di Asia Tenggara yang melantik wakil mahasiswa sebagai anggota Senat universiti.

DR Maszlee Malik mengadakan pertemuan dengan kelompok mahasiswa yang dilantik menganggotai Senat di universiti masing-masing, hari ini.
DR Maszlee Malik mengadakan pertemuan dengan kelompok mahasiswa yang dilantik menganggotai Senat di universiti masing-masing, hari ini.

“Kementerian Pendidikan melihat usaha ini sebagai pendedahan terbaik buat kita menyediakan kepimpinan berkualiti di masa hadapan. Mahasiswa kini memiliki suara lebih jelas dalam proses pembuatan keputusan, menentukan hala tuju universiti dan memberikan penyelesaian kepada isu-isu kebajikan mahasiswa serta hak-hak berkaitan,” katanya.

Di kesempatan itu, menurut Kementerian Pendidikan, menterinya, Dr Maszlee Malik hari ini mengambil peluang bertemu dengan kelompok mahasiswa yang dilantik menganggotai Senat di universiti masing-masing.

Dalam pertemuan berkenaan, kenyataan itu menyebut, Maszlee mengharapkan setiap mahasiswa yang diberikan tanggungjawab sedemikian dapat terus mengukuhkan komitmen dan menyumbang idea penting demi perkembangan universiti serta pendidikan tinggi negara.

“Mahasiswa adalah antara pemegang taruh utama untuk Kementerian Pendidikan dalam memastikan agensi reformasi pendidikan yang sedang digerakkan kini dapat berjalan dengan lancar,” menurut kenyataan itu.

Berita Harian X