Khamis, 15 Ogos 2019 | 5:18pm
MENTERI Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi pada sidang media mengenai Prestasi Pelancongan Domestik Tahun 2018 di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi pada sidang media mengenai Prestasi Pelancongan Domestik Tahun 2018 di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini. - Foto BERNAMA

Pelancong domestik meningkat - Mohamaddin

PUTRAJAYA: Pelancong domestik menunjukkan peningkatan 10.9 peratus pada 2018 kepada 78.2 juta orang berbanding 70.5 juta tahun sebelumnya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata perbelanjaan pelancong domestik juga meningkat tahun lalu iaitu sebanyak RM60.4 bilion berbanding RM54.1 bilion pada 2017.

Beliau berkata, purata perbelanjaan per kapita juga meningkat sebanyak 0.7 peratus kepada RM772 pada 2018 berbanding RM767 pada 2017.

“Selain itu purata bilangan hari menginap bagi seorang pelancong pada 2018 ialah 2.44 malam berbanding 2.35 malam tahun sebelumnya.

“Pelancong domestik lebih memilih penginapan tidak berbayar yang disediakan saudara-mara dan rakan sebagai pilihan penginapan utama iaitu sebanyak 68.2 peratus.

“Selain itu pilihan penginapan membabitkan hotel adalah sebanyak 20.4 peratus, manakala chalet (2.3 peratus) dan rumah rehat (1.7 peratus),” katanya pada sidang media pengumuman prestasi pelancongan domestik 2018 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, aktiviti membeli-belah mencatat peratusan tertinggi daripada keseluruhan perbelanjaan pada 2018 iaitu 26.8 peratus, diikuti perbelanjaan bahan api kenderaan (15.4 peratus); makanan dan minuman (13.9 peratus); perbelanjaan oleh isi rumah yang dilawati (13.7 peratus) serta perbelanjaan penginapan dan pengangkutan, masing-masing 13 peratus dan 8.4 peratus.

“Kehadiran tinggi ke Cameron Highlands, menjadikan Pahang negeri paling ramai dikunjungi iaitu 9.2 juta pelancong diikuti Johor (7.8 juta); Perak (7.6 juta); Selangor (6.8 juta) dan Negeri Sembilan (6.1 juta).

“Pertumbuhan pelancongan domestik yang memberangsangkan tahun ini dijangka berterusan tahun depan berikutan langkah dan kempen proaktif yang diambil dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Dalam perkembangan lain, Mohamaddin menyarankan pengusaha rumah penginapan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjaga keselamatan pelancong yang menginap di rumah penginapan mereka.

“Memang kita tidak boleh jamin pelancong yang datang ke negara ini panjang umur dan selamat kerana kemalangan atau kejadian tidak diingini boleh berlaku di mana-mana.

“Insiden menimpa remaja perempuan, Nora Anne Quoirin di Seremban Negeri Sembilan wajar dijadikan iktibar. Namun kejadian tidak menjejaskan kempen TMM2020 kerana setiap pelancong luar yang datang ke negara ini dipantau melalui pejabat Tourism Malaysia di luar negara,” katanya.

Mohamaddin berkata, pihaknya juga merancang mengadakan tinjauan ke semua rumah penginapan di seluruh negara bagi melihat sejauh mana tahap keselamatan yang disediakan.

Berita Harian X