Khamis, 8 Ogos 2019 | 8:04pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara di Hotel Empire Subang. - Foto Nurul Shafina Jemenon
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara di Hotel Empire Subang. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KPKT kesan penguasaan peniaga asing punca lot berniaga cecah harga RM1.3 juta

SUBANG JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengesan salah satu punca lot niaga pasar borang yang dijual dengan harga mencecah RM1.3 juta di Lembah Klang adalah disebabkan penguasaan peniaga warga asing.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata pasar borong di Selangor dan ibu negara mempunyai kebanjiran warga asing yang ramai dan ia diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu keuntungan segera.

Kata beliau, situasi itu berbeza di negeri-negeri lain yang melaksanakan perniagaan dari generasi ke generasi sehingga tidak timbul masalah penjualan yang terlalu tinggi.

“Saya jelajah ke negeri-negeri dan melihat isu lot berniaga ini adalah sangat baik contohnya di Perak yang menjalankan perniagaan secara generasi.

“Tetapi masalah ini berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor, yang mana aktiviti penjualan dan sewa itu sepatutnya tidak berlaku dan salah mengikut undang-undang.

“Ini disebabkan terlalu banyak warga asing yang mengawal (pasar borong) dan menyebabkan mereka yang mahu untung cepat mengambil kesempatan dan melakukan aktiviti ini secara ‘ali baba’,” katanya selepas program Penyerahan Sumbangan Dasar Komuniti Negara kepada lebih 30 penggerak badan bukan kerajaan (NGO), tadi.

BH melaporkan, Kajian Pasaran Sektor Makanan dikendalikan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendedahkan, satu lot niaga Pasar Borong Kuala Lumpur dijual dengan harga mencecah RM1.3 juta secara tunai dan pemilik baharu kemudiannya menyewakan dengan kadar antara RM20,000 ke RM30,000 sebulan.

Lot itu dipecahkan kepada empat lot mini yang disewakan sehingga RM3,000 setiap lot. Lot berkenaan beroperasi dua syif sehari, bermakna pemilik akan memperoleh RM24,000 sebulan, sedangkan setiap lot ditetapkan sewa pada kadar RM1,400 sebulan bagi setiap keluasan 20 kaki persegi.

Akibat kadar sewa tinggi itu, harga sayur dan ikan yang dijual kepada pembeli adalah pada harga yang tinggi.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, KPKT memandang serius terhadap aktiviti penjualan dan penyewaan lot pasar borong itu memandangkan perkara itu salah mengikut undang-undang sedia ada.

“Pemilik tidak boleh jual atau tukar nama lot yang perniagaan yang diberikan mereka kerana ia sudah termaktub dalam undang-undang.

“Tetapi perkara ini tetap berlaku disebabkan undang-undang yang ada tidak dikuatkuasakan dengan baik dan mungkin penguatkuasaan dilakukan tidak cukup,” katanya.

Berita Harian X